fbpx

Teguran lembut Asma’ buat Ayda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nama pe­nyanyi dan pelakon Ayda Jebat sekali lagi menjadi kontroversi dan bualan netizen selepas vi­deo muzik single terbaharunya, Pa­rah Parah ditegur Ustazah Asma’ Harun.

Menerusi Facebook pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ semalam, beliau telah memuat naik satu nukilan panjang lebar buat Ayda Jebat sebagai satu bentuk teguran lembut berke­naan video muzik lagu tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan.

“Ini satu musibah ummah yang parah, tatkala kita masih dalam belenggu cengkaman pandemik yang semakin parah, kalian menghasilkan sebuah video muzik yang menampilkan pe­nyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian yang mengghairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan!” tulisnya.

Menurut pendakwah itu lagi, beliau mengakui agak terkejut dengan video muzik lagu tersebut kerana memberi gambaran kurang baik buat seorang wanita Islam.

Ini disebabkan pemakaian serta gerakan dalam video muzik itu yang boleh dianggap mengghairahkan serta berpakaian agak menjolok mata.

Bagaimanapun, Ustazah Asma’ tetap husnuzon (bersangka baik) dengan beranggapan bahawa penyanyi tersebut silap percaturan dalam bahagian penari iringan memandangkan Ayda tidak memakai pakaian yang keterlaluan.

Pakaian Ayda dalam video klip Parah.

“Namun, saya tetap meletakkan sangkaan bahawa mungkin juga kamu tersilap untuk percaturan kali ini, terutamanya bahagian penari iringan, kerana penampilan kamu sendiri yang tidaklah keterlaluan,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri penulisan tersebut, Ustazah Asma’ turut memohon ribuan kemaafan andai apa yang disampaikan mengguris mana-mana pihak.
Ustazah Asma’ juga sempat menitipkan pesanan kepada para penggiat seni agar lebih berhati-hati dalam berekspresi lebih-lebih lagi berkaitan dengan kelucahan atau adegan kurang manis untuk diperlihatkan.

Sementara itu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat enggan mengulas lanjut berhubung teguran dan kenya­taan yang dibuat ke atasnya.

Asma

“Saya tak nak komen panjang. Takut salah cakap sebab isu ini sangat sensitif. Terpulang kepada penerimaan sesiapa yang menonton,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam pada itu, suami Ayda, Nabil Mahir yang bertindak sebagai pengarah video muzik berkenaan turut mengambil pendekatan sama apabila menyerahkan sepenuhnya kepada penonton untuk mengadili apa yang ditonjolkan dalam video yang dikatakan seksi itu.

“Seksi itu subjektif. Video tersebut lagunya rancak dan perlu disesuaikan dengan muzik dan tema yang dibangunkan untuk video itu. Sebagai pengarah video muzik dan suami kepada Ayda, saya hanya boleh katakan, terpulang kepada penerimaan masing-masing,” ujar Nabil.

Sebelum ini, nama Ayda yang popular menerusi single Temberang sering menjadi bualan apabila kerap kali berkongsi vi­d­eo mesra bersama suaminya, Nabil dalam media sosial miliknya.

Muzik video Parah Parah nyanyian Ayda mula disiarkan menerusi platform YouTube sejak 29 Disember 2020 dan sehingga semalam telah mencatat lebih 1.8 juta tontonan.

Video muzik berdurasi 3 minit 51 saat itu memaparkan beberapa segmen tarian oleh Ayda bersama kumpulan penari wanita yang berpakaian seksi dan me­lakukan tarian mengghairahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI