fbpx

Dibelasah selepas kantoi pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang mengalami kecederaan selepas dibelasah mangsa kes pecah rumah di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang dekat Bachok semalam.

BACHOK – Tiga lelaki tidak sempat menjual hasil rompakan yang disorokkan di dalam kawasan semak di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang di sini apabila salah seorang daripadanya berjaya ditangkap.

Suspek yang berusia 45 tahun ditahan oleh pemilik rumah yang merupakan mangsa rompakan itu manakala dua lagi rakannya sempat melarikan diri dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara pada pukul 8.15 malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Suprintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, kejadian berlaku ketika suspek bersama dua rakannya datang kembali ke kawasan rumah tersebut untuk mengambil hasil rompakan yang disorok di dalam semak berhampiran rumah mangsa berusia 51 tahun.

Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa selepas mangsa yang merupakan seorang peniaga keluar untuk bekerja sebelum mengetahui kejadian tersebut pada pukul 6 petang.

Ujarnya, apabila pulang ke rumah, mangsa mendapati televisyen, gitar, satu tong minyak petrol, dua parang dan satu bilah pedang samurai yang dianggarkan bernilai RM2,500 sudah hilang.

“Dengan bantuan saudaranya, mangsa kemudian mencari barang-barang tersebut di sekitar semak berhampiran rumahnya dan berjaya menemuinya kembali.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari kehadiran ketiga-tiga suspek ke kawasan itu untuk mengambil hasil rompakan mereka dengan menaiki kenderaan perodua Kembara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Yusrizal, susulan daripada kejadian itu, berlaku pergelutan antara mangsa dan ketiga-tiga suspek sebelum dua daripada mereka sempat melarikan diri.

Katanya, pergelutan itu menyebabkan suspek mengalami luka pada bahagian kepala dan bengkak di kedua-dua mata.

“Siasatan mendapati, suspek berasal dari Semerak, Cherang Ruku di sini. Lelaki itu juga ditahan reman bermula hari ini hingga 4 Februari untuk siasatan lanjut.

“Susulan daripada kejadian ini, saya ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak bertindak sendirian sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada suspek dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI