fbpx

TFC idam cipta kejutan pada saingan Piala AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN TFC tidak mahu menjadi sekadar pelengkap, sebaliknya menyasarkan melangkah ke peringkat separuh akhir pada saingan Piala AFC musim ini. – FACEBOOK TFC

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

TERENGGANU FC (TFC) enggan berputih mata dalam saingan pada peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan bermula 22 hingga 28 Jun depan.

Pengurus pasukan TFC, Zulfadli Rozi berkata, skuad Penyu perlu mengambil peluang daripada undian yang diumumkan kelmarin untuk melangkah jauh dalam pertandingan itu.

Ujar beliau, pihaknya berharap skuad kendalian Mohd. Nafuzi Zain itu tidak akan menjadi sekadar pelengkap pada sa­ingan musim ini selepas kali ter­akhir beraksi di pentas Piala AFC pada tahun 2012.

“Kita berjaya mengelak bertemu pasukan pilihan dari Vietnam atau Singapura, namun bukan bermakna TFC mendapat laluan mudah menerusi undian ini.

“Setiap pasukan yang beraksi pada Piala AFC adalah yang terbaik di rantau ini dan mewakili negara masing-masing. Jadi tiada istilah menang di atas kertas,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Zulfadli optimis TFC mampu melepasi peringkat kumpulan dan menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir bagi Zon ASEAN.

Menerusi undian semalam, TFC akan bertemu kelab dari Fi­lipina, Kaya FC, Geylang FC (Si­ngapura) serta wakil Myanmar, Shan United atau Ayeyawady United.

Di pentas sama sembilan tahun lalu, Terengganu yang ketika itu dikendalikan Mat Zan Mat Aris melangkah ke peringkat kedua sebelum kemaraan skuad Penyu dicantas pasukan jiran, Kelantan.

Sementara itu, Mohd. Nafuzi berkata, beliau sudah mula mengkaji kekuatan serta kelemahan tiga pasukan lain yang berada dalam kumpulan sama bagi saingan awal Piala AFC ber­kenaan.

“Buat masa ini saya fokus mempersiapkan pasukan agar bersedia bertemu mana-mana pihak lawan. Sasaran utama adalah untuk membawa TFC me­langkah penuh positif pada saing­an Piala AFC,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI