fbpx

Pengecualian pembaharuan LKM, CDL sehingga 31 Mac depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEE Ka Siong

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memperkenalkan semula pengecualian bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) kepada semua pemilik kenderaan persendirian berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Mac depan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengecualian itu seperti yang dilaksanakan sebelum ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 25 Mac hingga 30 September tahun lalu.

Beliau berkata, para pemandu bagaimanapun hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki pelindungan insurans yang sah.

“Mereka juga perlu menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ka Siong berkata, pemegang LKM dan CDL yang telah atau akan tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April depan.

Katanya, pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu.

“Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter atau pejabat Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak.
di sepanjang tempoh PKP.

“Semua pusat pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga adalah beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini,” katanya.

Tambanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI