fbpx

Dua pengedar ketum rempuh sekatan jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dua suspek apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) Batu 3, Batu Melintang malam tadi.

JELI – Dua lelaki yang membawa 415 kilogram daun ketum bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) Batu 6 dekat Batu Melintang malam tadi apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dikejar polis sejauh 20 kilometer.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 34 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka terbabas di SJR tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam dipandu dalam keadaan berbahaya dan mencurigakan kira-kira pukul 8.30 malam.

Menurutnya, melihat kepada situasi itu, anggota unit kereta peronda (MPV) kemudian mengejar kenderaan terbabit.

“Selepas sejauh 20 kilometer mengejar suspek, pemandu kenderaan itu bertindak merempuh SJR Batu 6 apabila sampai di kawasan itu.

“Insiden itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di hadapan sebuah stesen minyak yang berada berhampiran SJR. Susulan daripada itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shafien, pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 83 bungkusan plastik hitam yang dipercayai mengandungi 415 kilogram daun ketum.

Katanya, selain itu, polis turut menemui satu tiub berisi dua biji dipercayai pil kuda dan sebilah kapak kecil berhulu kayu sepanjang 28 sentimeter.

“Siasatan awal mendapati, mereka mengambil daun ketum itu di Kedah dan sedang dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu. Berdasarkan siasatan terhadap mereka, daun-daun ketum itu dipercayai akan diedarkan di sekitar Kota Bharu.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI