fbpx
Gambar hiasan

‘Alasan tidak kukuh, tidak munasabah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sehingga Isnin lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menolak sejumlah 64,021 permohonan rentas ne­geri dan daerah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dari­pada jumlah itu, permohonan dari negeri Pahang paling banyak ditolak iaitu sebanyak 18,448.

Menurut beliau, penolakan dibuat ekoran tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PDRM.

“Kebanyakan alasan yang diberikan adalah tidak kukuh dan tidak munasabah. Dalam erti kata lain, kes yang bukan melibatkan hal-hal kecemasan.

“Contoh alasan yang diberi seperti mahu makan angin, pergi ziarah kawan-kawan, mahu pergi tengok rumah dan seumpama­nya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas beliau, keseluruhan permohonan yang diterima di seluruh negara adalah seba­nyak 795,842 dan 92 peratus daripadanya mendapat kelulusan PDRM.

“Selangor antara negeri yang mencatatkan permohonan ren­tas negeri dan daerah paling tinggi iaitu sebanyak 122,309, manakala jumlah yang diluluskan pula 116,461.

“Jumlah permohonan yang kita terima dari negeri itu tinggi ekoran bilangan pekerja di Se­langor paling ramai berbanding negeri-negeri lain. Bahkan keba­nyakan penduduk yang menetap di Selangor adalah berasal dari pantai timur, utara dan selatan tanah air,” ujarnya.

ABDUL HAMID

Menurutnya, alasan yang diberikan pemohon juga sangat kukuh seperti alasan perubatan, ziarah kematian, urusan persekolahan anak dan juga faktor bekerja sendiri seperti peniaga kecil-kecilan yang terpaksa me­lakukan pergerakan rentas sempadan.

Dalam pada itu, beliau me­minta individu yang gagal memperoleh kelulusan untuk meren­tas negeri dan daerah agar berlapang dada kerana PDRM bukan sengaja menolak permohonan berkenaan.

“Memang perit, tetapi inilah kaedah yang terbaik yang harus dilakukan PDRM untuk negara memutuskan rantaian Covid-19. PKP ini untuk keselamatan semua.

“Saya harap orang ramai ja­ngan ambil mudah risiko Co­vid-19 ini kerana virus itu ada di merata-rata tempat. Jangan menyusahkan warga Kementerian Kesihatan yang sudah sedia terbeban,” ujarnya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seramai 37 individu yang melakukan rentas ne­geri telah dikompaun sepanjang dua minggu pelaksanaan PKP sehingga kelmarin.

“Rata-rata mereka didapati tidak mempunyai alasan munasabah ketika cuba memasuki atau keluar dari negeri ini di sempadan Kedah. Mereka didapati gagal me­nunjukkan bukti pengesahan bekerja atau surat kebenaran polis.

“Ada yang sekadar mahu bersiar atau pergi membeli bara­ngan keperluan di Kepala Batas sedang­kan di Sungai Petani (Kedah) mereka masih boleh mendapatkan barangan itu,” katanya dalam tinjauan sekatan jalan raya bergerak di Jalan Bagan Luar, Butterworth semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN