LIPIS – Impian seorang pemuda untuk menyertai pasukan keselamatan berkubur sekelip mata selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kaki kanannya terpaksa dipotong 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, dugaan itu tidak mematahkan semangat Rizuan Azman Iskandar, 28, yang bangkit membina kehidupan baharu dengan mengusahakan kedai gunting rambut di Kampung Beletik di sini.
Rizuan yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, kejadian tragis itu berlaku pada April 2016, hanya seminggu selepas dia menghadiri sesi temu duga untuk menyertai pasukan tentera di Temerloh dan ujian kelayakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Melaka.
“Saya menunggang motosikal seorang diri sebelum terbabas sehingga kaki kanan cedera parah.
“Ketika dibawa ke Hospital Kuala Lipis, darah sudah terkumpul dan kulit kaki bertukar kebiruan sebelum menjadi hitam. Doktor terpaksa memotong kaki kanan untuk menyelamatkan nyawa saya,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Rizuan mengakui, perasaannya menjadi lebih sedih apabila dia dimaklumkan lulus dalam temu duga itu, namun tidak dapat meneruskan perjuangan.
“Saya lulus temu duga, tetapi keadaan diri tidak mengizinkan. Sepupu serta rakan yang sama-sama pergi temu duga diterima untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.
Rizuan berkata, selepas pembedahan, dia dirujuk ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjalani pemulihan dan mempelajari kemahiran menggunakan kaki palsu.
Katanya, di situ dia kembali membina keyakinan diri dan aktif dalam sukan bola keranjang berkerusi roda sehingga berpeluang mewakili negara ke kejohanan di Jakarta dan Bali, Indonesia.
“Sepanjang berada di Bangi, saya pernah bekerja sebagai penjaga stor di pasar raya, namun terpaksa berhenti kerana jadual latihan sukan yang padat.
“Akhirnya, saya pulang ke Lipis dan mula bekerja sambil belajar di sebuah kedai gunting rambut,” katanya.
Tambahnya, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mengambil langkah berani membuka perniagaan gunting rambut di hadapan rumahnya dengan modal sendiri.
Beliau turut menerima bantuan bernilai RM20,000 melalui Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis berupa sebuah kabin, penghawa dingin serta peralatan gunting rambut.
“Saya juga menerima bantuan tambahan RM5,000 daripada JKM serta dua kali menerima bantuan kewangan RM15,000 daripada Menteri Besar Pahang.
“Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus. Dulu saya gunting rambut di depan rumah, kini saya ada kedai sendiri,” katanya.














