fbpx

Dua lelaki aktif curi motosikal tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak polis berjaya merampas empat buah motosikal yang dilaporkan hilang susulan penahanan kedua-dua suspek kelmarin.

PETALING JAYA – Dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal untuk mendapatkan wang membeli dadah akhirnya kecundang selepas kedua-dua mereka berjaya diberkas polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kira-kira pukul 2.30 petang Selasa lalu, sepasukan polis dari Balai Polis Ampang telah memerhatikan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Tidak lama kemudian, telah datang seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan yang kemudiannya cuba menghidupkan enjin motosikal tersebut.

“Pihak polis terus melakukan tangkapan ke atas suspek dan semakan yang dilakukan mendapati motosikal berkenaan telah dilaporkan hilang di kawasan Pandan Indah pada 18 Januari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas suspek pertama telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai merupakan rakan sejenayah melakukan aktiviti curi motosikal.

“Suspek pertama berusia 40 tahun dan mempunyai 24 rekod lampau seperti curi kenderaan, pecah rumah dan dadah serta satu kes dikehendaki di Pahang di bawah Akta Pencegahan Jenayah.

“Suspek kedua pula berusia 24 tahun juga mempunyai sebanyak 24 rekod jenayah lampau melibatkan kes samun, curi serta dadah dan kedua-dua lelaki ini didapati tidak bekerja,” jelas beliau.

Mohamad Farouk berkata, susulan penahan kedua-dua suspek, pihak polis telah berjaya merampas empat buah motosikal iaitu jenis Yamaha 134LC, Demak Matrix Sport serta dua Honda Ex5 di sekitar kawasan Ampang Hilir dan Pandan Dalam Ampang, Selangor.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri dan turut menjualnya untuk mendapatkan bekalan dadah. Usaha mengesan motosikal yang dicuri dan pembeli-pembeli motosikal curi masih dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih tentang suatu kenderaan yang dibeli bagi mengelak daripada membeli kenderaan yang dicuri,” ujar beliau.

Tambah Mohamad Farouk, kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga esok dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta boleh dipenjara tujuh tahun jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI