fbpx

Hello Farisha Iris ‘tapau’ satu drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISHA IRIS

PENGLIBATANNYA menerusi program Big Stage musim ketiga pada tahun lalu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan nama dan bakat yang dimiliki kepada peminat dan pencinta muzik tempatan.

Mula menyertai pertandingan nyanyian sejak berusia 12 tahun menerusi Idola Kecil 2011, penyanyi muda itu tidak pernah berhenti dan mengenal erti putus asa.

Malah, pemilik nama Farisha Iris itu juga tidak pernah jemu untuk memperkenalkan bakat nyanyian dimiliki. Baginya, nyanyian adalah minat dan sudah sebati dalam diri.

Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besarnya harapan Farisha, 22, atau nama sebenarnya Farisha Asmadi untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seninya.

Berbekalkan keyakinan sekali gus memenuhi permintaan peminat yang inginkan buah tangan terbaharu, Farisha kini muncul dengan single Hello terbitan Nova Music dengan kerjasama Seventeen Eleven Music.

Lagu Hello yang berentak pop merupakan ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan Shazee Ishak, manakala lirik ditulis oleh Arisz Ab. Rahman.

“Alhamdulillah, ini adalah single keempat saya. Lagu ini sangat mesra telinga dan pasti mudah diterima. Pendek kata, ini bukan lagu berat dan sesuai untuk semua.

“Kalau nak cakap tentang genre yang diminati, diakui saya sukakan balada kerana membesar dengan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pop

“Tetapi, apabila saya merakamkan lagu, ternyata rakaman lagu pop menjadi genre yang dekat dengan saya.

“Kebetulan pula dari dahulu sehingga sekarang, memang selalu dapat lagu bergenre pop. Jadi, saya anggap mungkin komposer dan penerbit berasakan vokal saya lebih sesuai dan kena dengan lagu pop.

“Kalau ada peluang dan rezeki lain, saya mahu mencuba lagu balada pula,” katanya.

Istimewanya, Hello juga bakal menjadi lagu tema drama rantaian berjudul Hello, Jangan Tapau Cintaku yang bakal ditayangkan menerusi slot Lestary, TV3 tidak lama lagi. Drama terbitan Mache All Star United tersebut dibintangi Nafiz Muaz, Elisya Sandha dan Eyka Farhana.

“Ini permulaan yang bagus untuk lagu Hello dikenali ramai. Malah, ini juga satu bentuk promosi buat lagu saya kepada penonton drama tempatan.

“Jika ada rezeki, mungkin lagu ini juga boleh pergi jauh dan stesen radio boleh berterusan memainkan lagu ini.

“Lagi pun, jalan cerita lagu ini sama seperti jalan cerita drama.

“Jadi sedikit sebanyak boleh menarik perhatian penonton dan pendengar,” katanya.

Populariti

Berkongsi lanjut mengenai kerjaya seninya, Farisha berkata, program Big Stage yang disertai seramai 12 peserta itu memperkenalkan lagi dirinya dalam industri muzik tanah air.

“Program Big Stage 2020 adalah platform yang bagus untuk saya. Pada awalnya orang tak tahu saya boleh menyanyi. Ramai ingat saya hanya boleh mengacara sebab selama ini memang banyak terbabit dalam bidang pengacaraan.

“Jadi, sejak muncul dalam Big Stage secara perlahan-lahan penonton mulai mengenali diri dan bakat saya.

“Malah, program itu juga menjadi medan untuk saya membuktikan bakat sebenar dengan mencabar diri menyanyikan lagu daripada pelbagai genre.

“Biarpun tersingkir pada minggu separuh akhir, itu bukan penamat kerjaya saya. Sebaliknya, selepas keluar daripada program itu saya sudah tahu ke mana hala tuju dan fokus. Malah, saya mahu lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

“Saya tidak mahu usaha selama beberapa minggu dalam program itu berakhir begitu sahaja. Apa yang penting orang tahu bakat saya dan saya mahu cuba buat yang lebih baik,” katanya.

Farisha yang pernah mengacarakan beberapa program televisyen berkata, dia tidak terdesak dalam soal populariti.

“Saya tidak terlalu mengejar ke arah itu atau terdesak nak popular. Kalau popular itu datang, saya anggap sebagai rezeki. Saya akan terus berusaha dan percaya dengan usaha gigih, kejayaan akan dapat dicapai.

“Lagi pun, saya ada komitmen lain selain menyanyi iaitu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM, Shah Alam.

“Jadi, dalam masa sama saya memang kena fokus belajar juga,” katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu duet, Farisha sebetulnya teringin untuk bekerjasama dengan rakan peserta Big Stage musim ketiga.

“Saya ada terfikir mahu buat lagu duet. Insya-Allah, kalau diberi peluang saya nak berduet dengan rakan dalam Big Stage musim ketiga,” katanya.

Single terbaru Hello Farish Iris kini tersedia dalam pelantar muzik digital sejak 22 Januari 2021. Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI