fbpx

Mat rempit sesal susahkan ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGIMBAU kembali kejadian yang berlaku hampir 12 tahun lalu ternyata membuatkan seorang pemuda yang dikenali sebagai Pali ini hanya menggelengkan kepala.

Kerana melakukan perkara yang menyalahi undang-undang iaitu merempit di jalanan, dia terpaksa bermalam di lokap selama dua malam dan harus mengikuti perbicaraan di mahkamah selama hampir tiga tahun kerana didakwa terlibat dalam perlumbaan haram.

Pali mengakui bahawa dia adalah salah seorang mat rempit ketika remaja.

“Sewaktu bersekolah lagi ayah saya sudah membelikan saya sebuah motosikal.

“Pada waktu itu, setiap hujung minggu saya akan keluar merempit bersama kawan-kawan,” jelasnya.

Selepas tamat pengajian, Pali ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di sebuah pusat pengajian awam di negeri kelahirannya juga.

Memandangkan tempat pengajiannya agak jauh dari rumahnya, dia memilih untuk menyewa rumah bersama rakan-rakannya yang lain.

“Pada waktu itu, usia saya baru saja 19 tahun. Saya suka merempit bersama kawan-kawan.

“Apabila tinggal di rumah sewa dan jauh dari keluarga, kehidupan saya menjadi bebas. Setiap malam hujung minggu, saya dan kawan-kawan akan keluar merempit beramai-ramai,” katanya kepada Panorama.

Jelasnya, dia tinggal di rumah sewa itu bersama sembilan rakannya yang lain.

Kebiasaanya pada malam minggu mereka akan keluar merempit sehingga hujung pagi.Ketika merempit undang-undang jalan raya langsung mereka tidak patuhi. Jalan raya bagaikan milik mereka pada ketika itu.

“Pada malam minggu bukan kami sahaja merempit, malahan ramai lagi remaja lain yang kami tidak kenali turut merempit bersama.

“Kebiasaanya kami akan bertemu di jalan raya dan konvoi bersama-sama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

“Melanggar lampu isyarat, mengangkat tayar hadapan motosikal itulah antara aksi yang selalu mat rempit lakukan,” katanya.

Tambahnya, selain itu, mereka juga sering lari daripada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa beramai-ramai.

Pada suatu malam, selepas mereka merempit dan berlumba antara satu sama lain suatu perkara yang tidak sama sekali diduga oleh Pali dan rakan-rakannya terjadi.

Tanpa mereka sedari, pihak berkuasa yang berpakaian biasa telah melihat perilaku yang mereka merempit. Pihak berkuasa kemudiannya mengikuti mereka sehingga ke rumah sewa.

“Sebaik sahaja saya dan rakan-rakan tiba di rumah, kami kemudiannya diserbu oleh pihak berkuasa. Kami tidak mampu untuk lari atau berbuat apa-apa kerana diserbu secara tiba-tiba,” katanya.

Tambahnya, akhirnya mereka ditahan dan dia bersama rakan-rakannya yang lain dibawa ke balai polis bersama motosikal masing-masing.

Mereka kesemua ditahan kerana menunggang secara berbahaya dan juga berlumba secara haram.

Pali menegaskan mereka tidak terlibat di dalam perlumbaan haram yang melibatkan pertaruhan wang ringgit. Sebaliknya mereka hanya keluar merempit sahaja.

 

 

PALI menyesal akan perbuatannya yang suka merempit semasa remaja sehingga terpaksa mengharungi perbicaraan di mahkamah.–GAMBAR HIASAN

Alasan itu tidak diterima dan Pali serta rakan-rakannya akhirnya terpaksa bermalam di lokap untuk beberapa malam sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas kesalahan berlumba haram.

“Ketika berada di dalam lokap saya begitu takut dan tidak menyangka akan berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Keluarga saya kemudian mengetahui akan nasib yang saya alami dan ayah saya begitu marah dengan perbuatan saya,” katanya.

Akhirnya, dia dan rakan-rakannya dibawa ke mahkamah untuk didakwa dan pada ketika itu Pali melihat ibunya menangis melihat tangannya digari.

Pali mengakui dia berasa menyesal pada waktu itu.

Ketika di mahkamah, Pali dan rakan-rakannya tidak mengaku bersalah dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu waktu untuk perbicaraan.

“Ayah saya terpaksa membayar jaminan bagi membolehkan saya bebas. Begitu juga rakan-rakan yang lain. Keluarga mereka turut melakukan perkara yang sama.

“Jika tidak membayar wang jaminan itu, saya sudah semestinya ke dalam penjara sehingga menunggu perbicaraan selesai,” katanya.
Pali menegaskan, bapa dan keluarga rakan-rakannya yang lain telah bersepakat untuk berkongsi wang bagi mengambil peguam untuk mewakili mereka dalam perbicaraan.

“Saya bersyukur kerana ayah saya berbuat demikian walaupun terpaksa mengeluarkan wangnya untuk mengupah peguam.

“Saya menyesal dengan perbuatan saya itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi,” katanya.

Hampir dua tahun perbicaraan berlangsung dan Pali mengakui dia serta rakan-rakannya yang lain cukup berdebar menanti keputusan mahkamah.

Menurutnya, jika didapati bersalah mereka mungkin akan dipenjarakan dan itu pasti akan membuatkan masa hadapan mereka gelap.

“Alhamdulillah saya dan rakan-rakan yang lain bersyukur apabila kami semua didapati tidak bersalah atas dakwaan lumba haram. Memang kami sekadar merempit sahaja, tidak membuat perlumbaan haram.

“Bagaimanapun saya sangat menyesal menjadi mat rempit sehingga menyusahkan ibu bapa.

“Saya mengakui kes itu juga mengubah saya untuk menjadi seorang rakyat yang sentiasa mematuhi undang-udang selepas itu,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI