MUNGKIN ramai yang tidak tahu negeri terkecil di negara ini, Perlis menyimpan khazanah unik iaitu satu spesies beruk dikenali dengan nama kentoi. Kentoi atau nama saintifiknya Macaca arctoides hanya boleh ditemui di hutan negeri Perlis di negara ini.
Populasi paling banyak dikesan berada di Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Wang Kelian di Taman Negeri Perlis dekat Padang Besar. Wang Kelian terletak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand atau kira-kira 10 kilometer dari kawasan hutan Thailand, Thale Ban National Park. Haiwan primat tersebut juga dikatakan boleh ditemui di Thailand, Myanmar dan India.
Beruk kentoi merupakan haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman memberitahu, kentoi ditemui semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis (Wang Kelian) pada tahun 2001.
“Kemudian, seorang peminat burung dikenali sebagai Dave Bakewell secara tidak sengaja menemui beberapa ekor kentoi di hutan tersebut pada tahun 2014,” katanya ketika ditemui Panorama di Wang Kelian baru-baru ini.
Katanya, penemuan tersebut menyebabkan dirinya teruja untuk melihat sendiri kentoi dengan mata sendiri.

– SHAHIR NOORDIN
“Seterusnya, dua tahun kemudian saya menerusi PNW memulakan projek kajian dan penyelidikan tentang kentoi.
“Usaha menjejak kentoi ini berjaya apabila kita menemui kumpulan kentoi seperti yang disebut-sebut sebelum ini,” ujarnya.
Ujar Syamil, usaha menjejaki kentoi boleh dibuat menerusi kajian pergerakan harian haiwan itu untuk mencari makanan.
“Saya akan merujuk catatan dan kajian yang dibuat tentang pergerakan kentoi. Biasanya kentoi ditemui di kawasan kebun kelapa sawit kerana di situ tempat kentoi mencari makanan.
“Bagaimanapun, ia bergantung juga kepada nasib. Kadangkala berdepan juga kesukaran untuk menemui kumpulan kentoi ini kerana populasinya tidak besar,” jelasnya.
Katanya, ada kalanya pengguna jalan berbukit di kawasan hutan Wang Kelian akan terserempak dengan kumpulan kentoi ini berada di tepi jalan atau melintas laluan tersebut.
“Apa yang membezakan kentoi dengan beruk lain adalah wajahnya yang berwarna merah selain ada yang berwarna coklat serta berbau busuk,” katanya.
Menurutnya, kumpulan beruk itu juga sentiasa bergerak dalam kumpulan dan terdapat dua kumpulan kentoi di hutan Wang Kelian yang mana satu kumpulan mempunyai kira-kira 30 ekor manakala satu lagi mencecah hingga 200 ekor.

“Kumpulan kecil kentoi didapati melakukan pergerakan dalam kawasan kecil kira-kira 100 meter persegi kerana sebilangan haiwan itu didapati kurang sihat.
“Sementara kumpulan besar pula terdiri daripada kentoi yang lebih sihat dan kuat yang mana kumpulan ini bergerak dalam kawasan lebih luas sehingga lima kilometer persegi,” katanya.
Menurutnya, kumpulan kecil kentoi itu digelar dengan nama ‘bantat’ manakala kumpulan besar pula dikenali sebagai ‘nomad’.
“Hubungan dan ‘ikatan’ antara kentoi dalam kumpulan sangat kuat yang mana ia tidak akan meninggalkan mana-mana ‘ahli’ dalam kumpulan itu. Daripada pemerhatian dan kajian dilakukan, ketika melintas jalan, ketua kumpulan atau alpha male akan menunggu di tengah jalan sehingga semua ahli kumpulan itu selesai melintas untuk bergerak sama,” katanya.
Tambah Syamil, pihaknya menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya lima lagi kumpulan kentoi di kawasan hutan sepanjang Banjaran Nakawan sejauh 36 kilometer yang mengunjur dari Wang Kelian hingga Kuala Perlis.

Jelasnya, kentoi dipercayai haiwan primat paling dominan berbanding lotong, kera dan ungka.
“Jika kentoi ada di sesuatu kawasan, biasanya lotong dan kera akan melarikan diri,” katanya.
Menurut Syamil, beruk berkenaan menjadikan pucuk pokok seperti pokok kayu ara dan biji kelapa sawit sebagai makanan hariannya dengan bergerak mencari makanan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Kentoi bukanlah haiwan perosak kerana hanya makan dalam jumlah kecil berikutan populasinya yang tidak besar,” katanya.
Apa yang membimbangkan, katanya, kentoi berdepan dengan ancaman jerat dawai yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab di habitat haiwan tersebut di sekitar hutan berkenaan.
“Kita pernah menemui beberapa jerat yang dipercayai untuk menangkap babi. Ia menjadi antara ancaman kepada beruk kentoi kerana 60 peratus aktiviti haiwan itu adalah di atas tanah manakala selebihnya di atas pokok.
“Pernah kita jumpa tiga ekor beruk kentoi yang kudung dipercayai akibat terkena jerat,” ujarnya.
Kata Syamil, ancaman jerat tersebut bagaimanapun lazimnya berlaku pada musim terdapat banyak babi berkeliaran di kawasan pinggir jalan yang dipercayai ditangkap bagi tujuan komersial.
Menurutnya, perangkap kamera yang dipasang PNW bagi memantau beruk kentoi juga didapati dicuri untuk mengelakkan aktiviti pemasangan jerat diketahui oleh penguat kuasa Jabatan Perhilitan.
“Ancaman jerat setakat ini terkawal kerana sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta PNW sendiri.
“Kita berharap tiada lagi pihak tidak bertanggungjawab yang memasang jerat berbahaya di kawasan hutan ini,” ujarnya.
Syamil berharap pemuliharaan spesies beruk yang jarang ditemui itu dapat dilakukan.

“Beruk kentoi bukanlah haiwan perosak dan disebabkan ia hanya boleh ditemui di hutan di negeri ini, bukan di negeri lain, ia perlu dijaga dengan baik bagi mengelak berlaku kepupusan. Beruk kentoi berupaya memberi nilai keunikan dalam industri pelancongan Perlis,” katanya.
Sementara itu, Duta Canon EOS (Electro-Optical System), Mohd. Safuan Salahudin, 35, belum berpeluang merakamkan gambar kentoi meskipun sudah lebih tiga kali menjejaki haiwan unik tersebut.
“Ada yang saya datang sendiri selain ada juga bersama Syamil, tetapi malangnya, saya belum berpeluang menemui kentoi. Biarpun kecewa, namun saya menganggapnya sebagai satu cabaran kerana kentoi ini merupakan haiwan unik yang akan terus saya jejaki,” kata Mohd. Safuan.














