fbpx
Siti Sarah dan Shuib.

Berhentilah fitnah saya dan suami – Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Siti Sarah menegur pendekatan portal-portal tidak bertanggungjawab yang disifatkan tidak habis-habis menyebarkan fitnah terhadap diri dan suaminya, Shuib.

Sarah berkata, dia dan Shuib sering menjadi mangsa fitnah.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Siti Sarah juga mempersoalkan sikap segelintir netizen yang berlagak seperti wartawan dan mudah membuat andaian dengan menyebarkan berita tidak sahih.

“Apa anda akan buat? Kalau berada di tempat saya dan suami. Anda tidak buat satu benda tetapi difitnah besar-besaran. Kerana portal-portal yang tidak bertanggungjawab.

“Kononnya nak menegakkan kebenaran. Semua nak jadi wartawan kononnya sedangkan info pun salah! Menggunakan populariti sesuatu kes untuk jual produk,” kata pelantun lagu Semakin itu.

Katanya lagi, terdapat segelintir pihak gemar mengambil kesempatan dengan isu yang berlaku untuk kepentingan sendiri.

“Mula-mula post (muat naik) cerita pasal duit haram bagai. Post seterusnya alih-alih jual (ubat) kelamin dan sebagainya. Macam tak faham saya dengan fitnah orang,” ujar Sarah.

Sejak penghujung tahun lalu, suaminya Syuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad mula menjadi panas selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu Macau Scam.

Berhubung isu berkenaan, Shuib mengakui perniagaan minuman, BubbleBee yang diusahakan agak terjejas sehinggakan ada pihak yang datang ke cawangan kedai memaki dan mendesak perniagaannya ditutup.

Kosmo! pada 19 Januari lalu turut melaporkan Shuib kini dalam proses untuk meminta SPRM mengeluarkan surat yang menyatakan dirinya tidak ada kaitan dan akan membersihkan namanya daripada terus dikaitkan dengan kes berkenaan. – K! ONLINE