fbpx

Macam-macam cara dapatkan ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

PADA abad ke-14, sistem pendidikan tidak formal mula dilaksanakan di Tanah Melayu. Ketika itu, rumah dijadikan sebagai tempat belajar sebelum pondok-pondok dan madrasah mengambil tempat sebagai pusat penyebaran ilmu khususnya berkaitan pengajaran al-Quran.

Bermula tahun 1786 sehingga 1956, British mula mencorakkan sistem pendidikan negara dengan memperkenalkan Sekolah Vernakular Melayu.

Ketika itu, anak-anak didedahkan kepada ilmu membaca, mengira, ilmu alam dan latihan jasmani.

Menyedari kepentingan memiliki sebuah dasar pendidikan sendiri, tanpa bergantung kepada sistem yang dibawa penjajah, maka kerajaan telah memperkenalkan sistem mengikut acuan Malaysia menerusi pembentukan Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960).

Ia kemudian membawa kepada pengenalan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran Kebangsaan 1961.

Bermula detik itu, sistem pendidikan kita berubah dan lebih teratur.

Beribu-ribu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan juga telah dibina. Proses pembelajaran dan pengajaran pula dilaksanakan secara formal, iaitu menerusi kaedah belajar di sekolah.

Untuk rekod, sehingga Julai 2020, bilangan sekolah rendah dan menengah di Malaysia adalah sebanyak 10,220 buah melibatkan seramai 4.9 juta pelajar.

Paling penting, suasana dan kondisi pembelajaran alaf baru ini cukup indah.

Sekolah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi, manakala para pelajar pula dibekalkan dengan bahan pembelajaran yang serba canggih.

Di kawasan pedalaman, situasi mungkin agak berbeza, namun semangat para guru dan murid tetap tinggi untuk mengejar ilmu.

Bagaimanapun, bermula pada Mac tahun lalu, keseronokan itu sedikit demi sedikit terhapus. Pandemik Covid-19 yang merebak tanpa sempadan telah mengubah segala-galanya.

Kemuncaknya adalah pada awal tahun 2021. Sejarah baharu tercatat dalam sistem pendidikan negara apabila buat pertama kalinya sesi pembukaan persekolahan terpaksa dilakukan secara maya.

Bilik darjah yang biasanya riuh dengan pelbagai gelagat murid-murid telah berubah sekelip mata.

Segalanya kini tertumpu kepada komputer atau telefon bimbit sebagai perantara menuntut ilmu.

Memang sukar untuk belajar dari rumah. Cabaran besar dihadapi bukan sahaja oleh guru yang mengajar mengikut norma baharu, ibu bapa dan penjaga juga tidak terkecuali. Paling terkesan pastinya anak-anak.

Tiga hari melalui norma baharu pembelajaran, 1,001 masalah dan isu yang kita dengar. Namun, diakhirnya, luahan dan suara lantang itu adalah atas tujuan sama iaitu mengejar ilmu.
Kepada yang berkenaan, pilihlah jalan terbaik, kerana ilmu itu boleh dicari dan disampaikan dengan pelbagai cara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI