fbpx
IRFAN BAKTI diperkenalkan secara rasmi sebagai pengendali Kuching City selepas selesai menjalani proses kuarantin selama dua minggu di Sarawak semalam.

Kuching City letak KPI tinggi buat Irfan Bakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih baharu Ku­ching City, Irfan Bakti Abu Salim diperkenalkan secara rasmi oleh pihak pengurusan selepas tamat menjalani proses kuarantin selama dua minggu di Sarawak semalam.

Kata Irfan, pengurusan pasukan telah memberikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang tinggi buatnya pada musim ini dengan meletakkan sasaran naik ke Liga Super tahun depan.

“Hari ini (semalam) saya sudah menandatangani kontrak selama setahun untuk menjadi ketua jurulatih Kuching City dan saya sangat gembira apabila kembali ke padang selepas hampir dua tahun berehat.

“Pada sesi menandatangani kontrak tadi, saya dan pihak pengurusan ada berbincang mengenai sasaran dan secara jujur, saya sendiri yang meletakkan KPI untuk membantu pasukan melangkah ke pentas Liga Super.

“Namun, kita harus sedar saingan Liga Premier musim ini sangat sengit memandangkan pesaing sudah melakukan persiapan lebih rapi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Irfan mengakui sangat lega apabila Sarawak masih lagi dibenarkan menjalani latihan bola sepak yang kompetitif berbanding negeri-negeri lain di Malaysia yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami bertuah kerana di sini kami boleh lagi berlatih dan buat masa ini, saya mahu me­ngenali barisan pemain selain memastikan tahap kecergasan mereka mencapai standard yang ditetapkan.

“Cuma, saya sedikit ralat kerana kami ada perancangan untuk melakukan latihan pramusim di Semenanjung tetapi terpaksa ditangguhkan kerana PKP ketika ini,” katanya.