fbpx

Ancaman hakisan pantai Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEPANJANG musim tengkujuh yang bermula November lalu, Terengganu telah mengalami lima episod gelombang banjir.

Lebih 16,000 penduduk di semua lapan daerah di negeri tersebut terjejas dalam kesemua siri gelombang banjir berkenaan.

Di sebalik kerosakan harta benda mangsa banjir dan instrastruktur, jangan dilupakan monsun Timur Laut berkenaan juga telah menyebabkan hakisan pantai yang merosakkan landskap bumi Terengganu saban tahun.

Fenomena Luruan Monsun yang menyebabkan air pasang besar dan ombak ganas setinggi hampir empat meter telah menghakis tanah sepanjang 244 kilometer (km) pesisir pantai Terengganu sedikit demi sedikit sejak puluhan tahun lalu.

Isu hakisan pantai bukan baharu dan telah membelenggu pesisir pantai negeri Pantai Timur berkenaan sejak tahun 1970-an.

Sebanyak 30 kawasan pantai di negeri berkenaan dikesan terjejas antaranya Pantai Teluk Lipat dan Teluk Gadong, Dungun; Pantai Rhu Rendang, Pantai Rusila, Pantai Rhu Renggeh dan Pantai Rhu Dua, Marang dan Pantai Maras dan Tok Jembal, Kuala Nerus.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, hakisan pantai tersebut amat serius dengan dua hingga 20 meter di kawasan tersebut telah tenggelam ke dalam laut setiap tiga tahun.

Jelasnya, terdapat empat faktor semula jadi utama yang menyebabkan Terengganu menjadi antara negeri paling teruk terjejas dengan hakisan pantai.

“Pertama, Terengganu mempunyai pesisir pantai sangat panjang iaitu 244km yang amat terbuka dengan sebarang ancaman bencana alam dari Laut China Selatan.

“Kajian mendapati ketinggian ombak Laut China Selatan yang menghempas Pantai Timur terutama Terengganu pada musim tengkujuh telah meningkat setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, paras ombak yang menghempas pantai negeri tersebut pada musim tengkujuh kali ini lebih tinggi sekurangkurangnya 1.5 meter berbanding 10 tahun lalu.

Pakar isu hakisan pantai itu juga tidak menolak kemungkinan ombak tinggi itu disebabkan fenomena pemanasan global yang telah meningkatkan paras laut ekoran kecairan ais di kawasan kutub.

“Faktor ketiga ialah fenomena pusuan ombak iaitu pertembungan antara ombak dengan air pasang besar yang memberi satu tenaga kinetik luar biasa yang mampu menghakis permukaan pantai dengan lebih banyak dan pantas,” ujarnya.

Effy Helmy memberitahu, lambakan pasir yang tersumbat di kebanyakan muara lembangan sungai utama sehingga membentuk pulau jadian sejak puluhan tahun lalu juga salah satu faktor hakisan pantai berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh memberitahu, projek pemulihan hakisan di pantai paling teruk terjejas di negeri ini iaitu Pantai Teluk Lipat, Dungun; Pantai Rusila, Marang dan Pantai Tok Jembal dan Maras, Kuala Nerus telah diluluskan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Sebanyak RM57 juta peruntukan telah diluluskan untuk membaiki hakisan di Pantai Teluk Lipat dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022.

“Struktur pemecah ombak dan penyuburan pantai melibatkan kos RM150 juta akan dilakukan di Pantai Rusila sepanjang 6 kilometer, manakala RM6.17 juta bagi pemulihan hakisan di Kuala Nerus yang dijangka siap pada Ogos depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI