fbpx
TINJAUAN dari udara kesan hakisan pantai akibat fenomena ombak besar di Batu Rakit, Kuala Nerus pada 13 Januari 2025.

Pantai terhakis hingga 6.9 meter setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU hakisan pantai bagai tidak berkesudahan dan ia kini menjadi ancaman kepada kedaulatan tanah kita.

Hakisan pantai dilihat semakin agresif dan dipacu pelbagai faktor termasuk perubahan iklim dan pembangunan. Untuk rekod kadar hakisan pantai setahun direkodkan antara satu hingga 6.9 meter.

Bagi mengulas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemubual Pengarah Kanan Pusat Transisi Iklim dan Risiko Bencana Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos dan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMPSA yang juga Felo Penyelidik Pusat Transisi Iklim dan Risiko Bencana UMPSA, Gs. Dr. Syarifuddin Misbari.

KOSMO! AHAD: Apakah ha­kisan dan bagaimana ia terjadi?

MOHD. FAIZAL dan SYARIFUDDIN: Hakisan merujuk kepada proses geofizik melibatkan penyingkiran dan pemindahan bahan di permukaan bumi seperti tanah, batuan, sedimen, kerikil atau pasir oleh agen semula jadi dari satu lokasi ke lokasi lain.
Contohnya di kawasan pesisir pantai. Ia berbeza dengan luluh hawa iaitu batuan pecah, reput, atau terurai di tempat yang sama, hakisan melibatkan pergerakan.

Proses ini terjadi apabila agen-agen semula jadi seperti air, angin, glasier, dan graviti bertindak ke atas permukaan bumi.

Air agen paling dominan yang mana titisan hujan yang jatuh akan melonggarkan zarah tanah, manakala aliran air sungai atau ombak laut akan mengangkut bahan itu ke tempat lain.

Di kawasan kering, angin bertindak sebagai agen penghakis dengan meniup zarah pasir yang bertindak seperti kertas pasir terhadap formasi batuan.

Walaupun hakisan fenomena semula jadi, aktiviti manusia se­ring mempercepatkan kadar kejadiannya. Pembangunan secara tidak terkawal menyebabkan tanah kehilangan pelindung semula jadi.

Tanpa akar pokok untuk mencengkam tanah dan kanopi pokok untuk memecahkan impak jatuhan hujan, struktur ta­nah menjadi lemah dan mudah dihanyutkan. Begitu juga pemba­ngunan di lereng bukit dan amalan pertanian tidak mampan, mendedahkan permukaan bumi secara terus kepada elemen cuaca, membawa kepada pemendapan sedimen di dasar sungai yang boleh menga­kibatkan banjir.

Kenapa akhir-akhir ini ­hakisan berlaku terlalu cepat dan teruk?
Hakisan pantai terutamanya di negeri Pantai Timur Semenanjung seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang berlaku secara agresif kebelakangan ini adalah kombinasi antara perubahan iklim global dan gangguan aktiviti manusia terhadap imbangan semula jadi pesisir pantai.

Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung terdedah kepada Laut Cina Selatan yang merupakan laut lepas di mana aktiviti angin Monsun Timur Laut menyebabkan kawasan gigi pantai sentiasa terdedah dengan pukulan ombak intensif.

Dalam konteks di kawasan pantai, Pantai Barat jauh lebih rendah kadar hakisan berban­ding di Pantai Timur.

Hal ini adalah kerana faktor geografi Semenanjung di Pantai Barat terletak berdekatan de­ngan jajaran Pulau Suma­tera, Indonesia. Secara tidak langsung menyebabkan kawasan Pantai Barat Semenanjung terlindung secara langsung daripada impak angin terhadap kejadian ombak dan taufan di Lautan Hindi.

Di samping itu, berdasarkan kajian pemetaan taburan rumput laut di Semenanjung menggunakan teknologi satelit penderiaan jauh atau remote sensing seperti satelit Landsat OLI, Sentinel-2, Pleiades, Worldview-3, kepadatan rumput laut di Pantai Timur jauh lebih rendah berbanding di perairan Johor dan sebahagian kawasan pesisir di Pulau Pinang.

Antara faktor kepadatan dan taburan rumput laut di Pantai Timur adalah kerana ombak laut kuat dan kerap menyebabkan akar rumput laut tidak mampu bertahan lama. Pembinaan struktur tebatan pantai tidak te_rancang boleh mengalihkan tenaga ombak, menyebabkan hakisan teruk di kawasan baharu.

Kadar hakisan yang ketara menyebabkan harga tanah di kawasan terjejas semakin menyusut berbanding kawasan lain.

Apakah punca hakisan, boleh terangkan faktor semula jadi dan pembangunan pantai?
Dari sudut keadaan se­mula jadi dan alam sekitar, punca utama akibat kenaikan aras laut ekoran pemanasan global.

Peningkatan suhu global akibat pelepasan gas rumah hijau oleh industri dan pengangkutan serta kelemahan usaha pemeliharaan dan konservasi hutan global secara bersepadu.

Apabila suhu bumi meningkat dek transisi iklim global dalam julat 10 Celsius hingga 1.350 Celsius dalam beberapa dekad, pencairan glasier di Kutub Utara dan Kutub Selatan bumi menambah isi padu air laut seluruh dunia.

Aras laut lebih tinggi membolehkan ombak besar sampai lebih jauh ke kawasan daratan, menghakis kawasan yang sebelum ini selamat daripada jangkauan air.

Akibat sentuhan intensif ombak dan pasir pantai, kejadian hakisan menjadi semakin ketara dan impaknya lebih cepat dirasai penduduk di sekitar pantai.

Dari sudut antropogenik (aktiviti manusia) pula, pembangunan pesat yang tidak terancang dan tidak terkawal di kawasan pinggir pantai sering kali mengganggu proses pengangkutan sedimen semula jadi.

Pembinaan struktur seperti jeti, benteng atau pelabuhan boleh menghalang aliran pasir yang sepatutnya mengisi semula kawasan pantai yang terhakis.

Apabila kitaran pasir ini terganggu, satu bahagian pantai mungkin menerima mendapan pasir banyak, manakala bahagian pantai lain mengalami kekurangan pasir kronik, menyebabkannya lebih terdedah kepada sera­ngan ombak secara berterusan.

Selain itu, terdapat faktor lain juga menjadi faktor kepada kejadian hakisan berterusan. Kemusnahan ekosistem pelin­dung seperti hutan paya bakau dan terumbu karang turut mempercepat kejadian hakisan pantai.

Paya bakau bertindak sebagai zon penahan semula jadi yang menyerap tenaga ombak dan memegang struktur tanah dengan sistem akarnya yang kompleks.

Apabila kawasan ini diteroka untuk tujuan akuakultur atau pelancongan, benteng semula jadi ini beransur-ansur menua, mati lalu hilang, sekali gus membiarkan daratan terdedah secara terus kepada amukan laut.

MOHD. FAIZAL menunjukkan kelengkapan remote sensing termasuk dron yang digunakan di Kuantan.

Adakah penebangan pokok dan pengambilan tanah bukit boleh menyebabkan hakisan?
Aktiviti penebangan pokok dan pengambilan tanah di kawasan bukit mempunyai perkaitan secara tidak langsung dengan kestabilan garis pantai.

Walaupun bukit berhutan dan pantai terletak di lokasi berbeza, kedua-duanya dihubungkan oleh satu sistem hidrologi dikenali sebagai lembangan sungai.

Secara semula jadi, sungai membawa muatan pasir dan tanah dari kawasan hulu bukit ke muara untuk umpamanya ‘memberi makan’ kepada pantai. Pasir yang dibawa oleh sungai inilah yang membentuk benteng semula jadi pantai.

Apabila aktiviti pengambilan tanah bukit dilakukan secara besar-besaran, biasanya ia diikuti dengan pembinaan sistem perparitan atau empangan yang menghalang aliran pasir semula jadi ini daripada sampai ke laut.

Apabila pantai kehilangan bekalan pasir baharu, ombak yang bergerak dari laut akan menghempas terus ke pantai lalu beransur-ansur menghakis pasir sedia ada tanpa ada pengganti, menyebabkan garis pantai semakin mengecil.

Selain itu, aktiviti peneba­ngan pokok di kawasan bukit serta pembangunan manusia, seperti pembangunan konkrit (bersimen) dan penurapan jalan raya, menyebabkan kadar larian air permukaan (run-off water) me­ningkat dengan drastik.

Tanpa akar pokok untuk menyerap air hujan, air akan mengalir laju membawa mendapan lumpur (sedimen halus) ke dalam sungai dan seterusnya ke laut. Lambakan sedimen halus ini boleh mengeruhkan air laut (kualiti air menurun) dan memusnahkan terumbu karang serta padang rumput laut di pinggir pantai.

Apabila terumbu karang dan rumput laut mati, tiada lagi pemecah ombak semula jadi di dasar laut yang berfungsi me­ngurangkan tenaga ombak menyebabkan hakisan lebih kuat.

Pahang mempunyai jajaran pantai yang panjang, kawasan mana paling te­ruk terhakis?
Terdapat 10 lokasi pantai terhakis di Pahang iaitu di Chera­ting, Balok, Teluk Chempedak, Kempadang, Sepat dan Cherok Paloh di Kuantan, Tanjung Batu, Pekan, Kuala Rompin dan Tanjung Gemok di Rompin serta Kampung Mukut, Pulau Tioman.

Di Rompin selain Nenasi, kawasan paling terjejas dengan masalah ini ialah kawasan pantai Kampung Tanjung Batu, Kampung Merchong dan Kampung Tering. Fenomena air pasang besar yang berlaku sepanjang tahun menjadi punca utama kejadian hakisan pantai di beberapa kawasan pesisir di daerah ini.

Peruntukan besar diperlukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan benteng pemecah ombak (rock revetment) berskala mega bagi menangani masalah ini.

Faktor lain juga dalah tempoh menyiapkan projek skala mega ini mengambil masa panjang menyebabkan masalah hakisan semakin memburuk selagi projek tersebut belum siap sepenuhnya.

Sebagai contoh, projek pe­ngawalan hakisan pantai di Kampung Tanjung Batu, Pekan membabitkan pemulihan pesisir pantai sepanjang 4.3 km sejak tahun 2025 dengan kos RM58 juta dijangka siap pada Mac 2026. Memburukkan keadaan, benteng sementara dibina dengan peruntukan kecil tidak mampu bertahan lama menentang hakisan.

Selain itu, masalah utama juga daripada keadaan arus Laut China Selatan yang berarus deras dan ombak besar, terutama di musim tengkujuh pada November hingga Februari yang mempercepat kadar ha­kisan pantai di negeri ini. Kedua-duanya memberi tekanan tinggi kepada pantai yang mengikis tanah dan pasir secara berterusan.

MOHD. FAIZAL (kiri) dan Syarifuddin ketika ditemu ramah baru-baru ini.

Berapakah purata kadar hakisan setiap tahun bagi pantai terhakis teruk di Pahang?
Berdasarkan data daripada Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan (NCES) dan penyelidikan tempatan, kira-kira 30 peratus dari garis pantai Pahang dilaporkan mengalami masalah hakisan.

Pahang mempunyai antara garis pantai paling terdedah kepada hakisan, terutamanya semasa Monsun Timur Laut.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengelaskan kadar hakisan kepada kategori Kritikal (garis pantai surut lebih daripada empat meter setahun), Ketara (garis pantai surut antara satu meter hingga empat meter setahun) dan Sederhana/Stabil (hakisan kurang satu meter setahun).

Secara purata, hakisan berlaku pada kadar 1.8 meter hingga 20.9 meter setahun di Malaysia, melibatkan kawasan terdedah, bergantung kepada lokasi.

Sebagai contoh, di kawasan seperti Cherating dan Cherok Paloh, kadar hakisan dikesan sangat tinggi, iaitu antara 5.6 meter hingga 6.9 meter setahun. Antara tempat lain turut terjejas sejak 2021 adalah kawasan pantai di Tanjung Batu, Pantai Sepat, Balok, Nenasi dan Kuala Rompin.

Bolehkah kawasan pantai teruk terhakis hingga ada yang menjadi laut dipulihkan?
Kawasan pantai yang hilang atau tenggelam menjadi laut boleh dipulihkan semula dalam satu tempoh, namun ia memerlukan kos sangat tinggi, kepakaran teknikal yang mendalam dan penyelenggaraan berterusan.

Aktiviti reklamasi atau pemulihan pantai dapat dijalankan mengguna pakai ilmu kejurute­raan dan teknologi semasa.

Antara kaedah popular melalui aktiviti penambakan pasir. Jurutera menggunakan kapal korek gergasi untuk mengambil pasir dari dasar laut dalam dan mengepamnya ke kawasan pantai yang telah hilang.

Pasir ini diratakan menggunakan jentera berat untuk membentuk semula daratan. Walaupun berkesan, kaedah ini bersifat sementara kerana pasir tersebut boleh terhakis semula.

Kaedah lain ialah pembinaan groyne iaitu struktur dibina berserenjang dari pantai ke arah laut untuk memerangkap pasir dibawa arus pesisir, pemecah ombak luar pantai iaitu struktur konkrit/batuan yang dibina di tengah laut untuk memecahkan tenaga ombak sebelum ia sampai ke daratan yang baru dipulihkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN