SHAH ALAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendedahkan sebanyak 45 buah kilang yang dipantau pihaknya di dua daerah di Selangor didapati melakukan kesalahan berulang iaitu membuang efluen melebihi piawai dan sisa berjadual mereka sepanjang tahun 2020.
Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, kebanyakan kilang tersebut berasaskan makanan dan minuman, kimia dan berasaskan getah dengan terletak di Rawang dan Klang.
Katanya, mereka didapati melepaskan efluen terus menerusi longkang awam atau lurang kumbahan sebagai jalan pintas menjimatkan kos operasi.
“Rata-rata kilang ini didapati berdegil dengan sengaja membuang sisa daripada proses kilang tanpa rasa serba salah.
“Berdasarkan rekod mendapati ada di antara kilang-kilang ini melakukan dua kali kesalahan dalam tempoh setahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan sebanyak 6,136 kilang terutama sektor pembuatan getah dan kimia, pengilangan logam serta berasaskan makanan dan minuman berpotensi melakukan pencemaran di Selangor.
Jumlah itu merupakan separuh daripada keseluruhan 12,764 kilang berdaftar yang menghasilkan sisa air buangan dan sisa berjadual.
Mengulas lanjut, Nor Aziah menegaskan bagi kesalahan berulang tiada lagi kompaun dikenakan sebaliknya berdepan tindakan lebih tegas iaitu tindakan mahkamah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pencemaran sumber air ini adalah kesalahan serius dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Kita juga menyita peralatan memproses daripada kilang-kilang tersebut bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan mengarahkan tindakan pembaikan diambil,” jelasnya.














