fbpx

Seorang boleh beli dua peket sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH kedai di Padang Matsirat, Langkawi meletakkan tanda mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi berikutan bekalan yang tidak mencukupi.

PETALING JAYA – Kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di pasaran ekoran permintaan yang tinggi mendorong peniaga mengehadkan pembelian kepada satu atau dua peket setiap seorang.

Langkah itu bagi memboleh­kan lebih ramai pengguna dapat membeli minyak masak tersebut yang dijual pada harga RM2.50 sepeket sekilogram.

Di Pulau Pinang, seorang pe­ngusaha kedai runcit di Pasar Awam Bayan Baru, Akashia Ishak, 41, berkata, dia terpaksa mengehadkan penjualan minyak peket dengan hanya dua bungkus bagi setiap pembelian ekoran bekalan yang terhad.

Katanya, dia hanya dapat membeli maksimum tiga kotak minyak masak peket daripada pemborong di kawasan George Town setiap hari.

“Kenaikan harga minyak masak botol mendorong pembe­lian yang tinggi terhadap minyak masak peket yang masih kekal ­harganya.

“Selain harganya yang kekal, pelanggan menyatakan mereka dapat berjimat cermat dan perlu menguruskan kewangan dengan bijak berikutan terjejas dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini ­semalam.

Dalam pada itu, di Kelantan, seorang peniaga kedai runcit di Kampung Aur, Bachok, Nafisah Abdul Kadir mengakui, dia turut mengehadkan penjualan minyak masak peket kepada pelanggan akibat kekurangan bekalan sejak sebulan lalu.

“Setiap kali ke kedai borong, saya dibenarkan membeli ha­nya satu kotak sahaja, oleh itu ­seorang boleh beli dua peket sahaja,” katanya.

Nafisah berkata, setakat ini, meskipun mengalami kekura­ngan bekalan minyak masak, harganya tetap sama dan tidak berlaku peningkatan.

Peniaga bertindak ‘menyembunyikan’ minyak masak peket dan hanya menjualnya sekiranya diminta pembeli.

Sementara itu di Selangor, permintaan yang tinggi terhadap minyak masak peket menyebabkan ada sesetengah peniaga ‘menyembunyikan’ dan hanya menjualnya apabila diminta oleh pengguna.

Tinjauan mendapati, ruang yang kebiasaannya untuk minyak masak peket kosong dan bekalan berkenaan diletakkan di belakang kaunter bayaran.

Seorang pekerja dikenali Mahindran, 28, berkata, orang ramai lebih memilih minyak masak peket kerana murah dan menjimatkan kerana penggunaannya yang kerap bagi tujuan memasak berikutan orang ramai duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pengguna juga memi­lih minyak peket untuk diletakkan di dalam botol sedia ada di rumah.

“Saya hanya mengikut arahan daripada majikan sahaja supaya minyak peket itu disimpan di belakang kaunter bayaran ke­cuali diminta oleh pengguna.

“Ini berikutan stok yang ada pun semakin berkurangan berbanding permintaannya yang tinggi susulan harga minyak botol lima kilogram (kg) meningkat daripada sekitar RM18.70 hingga RM27.50,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja kedai mahu dikenali Saleha, 28, mendakwa bekalan stok minyak peket tidak diterima daripada pihak pemborong sejak dua hari lalu seterusnya terpaksa mengehadkan pembelian seba­nyak sepeket seorang.

“Kami kena adil agar semua pelanggan mendapat minyak masak dalam keadaan ketika ini,” jelasnya.

Norasyikin menunjukkan stok minyak masak peket di kedai runcitnya di Kampung Buluh, Kuala Berang semalam.

Di Langkawi, tinjauan mendapati, ada beberapa kedai runcit kecil yang menjual minyak masak peket tersebut pada harga RM2.70 berbanding harga maksimum RM2.50 sepeket kerana mendapat bekalan daripada ­peruncit lain.

Penyelia kedai runcit, Siti Zaharah Abdullah berkata, bekalan minyak masak bersubsidi di premisnya hanya dapat bertahan kira-kira seminggu sahaja lagi.

“Setakat ini kita terpaksa meletakkan minyak tersebut di belakang kaunter dan mengehadkan pembelian kepada dua peket setiap pelanggan bagi memastikan semua pelanggan dapat membeli minyak tersebut,” katanya di sini semalam.

Berbeza di Hulu Terengganu, harga minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi di kedai runcit di beberapa kawasan pedalaman di daerah ini dijual lebih mahal 30 sen hingga 50 sen daripada harga pasaran.

Tinjauan mendapati harga minyak masak paket tersebut dijual pada harga RM2.70 hingga RM3 mengikut lokasi kampung berkenaan berbanding RM2.50 di pasar raya.
Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Buluh, Norasyikin Khalid, 26, berkata, harga mi­nyak peket itu tinggi sejak dulu atas faktor kos penghantaran ke ­kawasan pedalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI