fbpx

PPM rampas minyak masak, rokok disembunyikan dalam kebun sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejumlah rokok dan minyak masak dipercayai cuba diseludup ditemui disembunyikan di bawah pelepah pokok kelapa sawit.

LAHAD DATU – Sebanyak 800 bungkus rokok pelbagai jenis bersama 578 paket minyak masak disyaki tidak bercukai dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam penemuan di kebun kelapa sawit di Kampung Pangkalan, Desa Kencana kelmarin.

Bungkusan plastik berisi minyak masak dan rokok yang disembunyikan di kebun berkenaan dipercayai cuba diseludup.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, semua barangan terbabit ditemui sepasukan pegawai dan anggota PPM Lahad Datu ketika menjalankan rondaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ahmad memaklumkan pasukannya ternampak longgokkan kotak yang ditutup dengan pelepah daun kelapa sawit dalam keadaan mencurigakan sewaktu melakukan rondaan di salah satu kebun sawit dalam kampung berkenaan,.

“Pemeriksaan mendapati beberapa peket minyak masak dan rokok pelbagai jenama berada di dalam longgokkan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai sebanyak 578 paket minyak masak serta 800 bungkus rokok pelbagai jenis antaranya jenama President Filter King, D&B dan RS Menthol yang disyaki tiada sebarang bercukai.

“Jumlah rampasan minyak masak dianggarkan bernilai RM1,445 manakala rokok seludup berkenaan dianggarkan berjumlah RM6,534 selepas cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, nilai keseluruhan rampasan membabitkan barangan yang cuba disembunyikan sebelum diseludup ke negara asing itu dianggarkan berjumlah RM7,979.

Sementara itu, beliau berkata, semua barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes rampasan minyak masak disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dirujuk kepada pihak KPDNHEP.

“Manakala kes rampasan rokok pula disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI