fbpx
SAHARUL Ridzwan

‘Kalau hilang mata, cacat fizikal, ada ke orang nak ambil berlakon?’ – Saharul Ridzwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Percaya bintang tidak akan selamanya bersinar, pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan keengganan punca pendapatannya terlalu bergantung terhadap dunia seni semata-mata.

Justeru, Saharul atau nama lengkapnya, Mohd. Saharul Ridzwan, 31, berkata, dia perlu menyediakan payung sebelum hujan dengan merancang masa depan terutamanya sumber kewangan dengan sebaiknya ketika dirinya masih ‘disayangi’ dalam industri.

Atas alasan itu, dia kini secara serius mencari peluang dan menceburi ilmu perniagaan bagi membuka empayar sendiri.

“Saya terfikir kalau satu hari nanti secara tiba-tiba saya hilang mata, cacat fizikal tubuh badan ke, masa itu ada ke orang nak ambil saya berlakon lagi.

“Waktu itu saya sudah tidak ada apa-apa lagi nak ‘dijual’ dalam industri seni. Itu yang menjentik hati saya untuk ceburi bidang perniagaan sebagai pendapatan sampingan.

“Lagipun saya sudah berkahwin dan ada anak-anak yang bakal bersekolah. Saya tak boleh fikir apa yang akan jadi pada keesokan hari. Saya kena fikirkan 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Saharul (kanan sekali) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Palut’s Food, Ridzuan Ansar (baju hitam) bersama dua selebriti lain, Zoey Rahman dan Achey yang turut dilantik sebagai duta.

Saharul ditemui pada majlis pelancaran produk makanan ringan Palut’s Food di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini dan pelantikannya sebagai duta kudapan Banana Salai Crispy.

Pelakon drama Korban Kasih itu turut melahirkan rasa syukur kerana pendapatannya pada 2020 bertambah dua kali ganda walaupun negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Saharul dituduh oleh netizen kerana tidak ada tawaran berlakon selepas dilihat mempromosikan perniagaan pisang berangan dalam Instagram. – K! ONLINE