fbpx

Populariti memudar, Saharul Ridzwan telan realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUL RIDZWAN

HIDUP ini ibarat putaran roda. Kadang-kadang di atas, adakalanya di bawah. Buat golongan selebriti, hakikat tersebut barangkali pahit untuk ditelan namun realiti tetap menunggu waktu dan tempat yang tepat. Cepat atau lambat, itu sahaja persoalannya.

Tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Barangkali, setiap makhluk bergelar manusia di dunia ini perlu berpegang kuat dengan frasa berkenaan agar tidak hanyut dalam deras kehidupan yang bersifat sementara.

Buat pelakon Saharul Ridzwan, pernah satu ketika, dia dipuja peminat. Popularitinya melangit sehingga tidak menang tangan untuk melayan tawaran lakonan yang datang bertubi-tubi.

TEMPOH 10 tahun dahulu, Saharul Ridzwan cukup laris menjadi rebutan rumah produksi yang menawarkannya memegang watak utama atau hero sesebuah naskhah.

Selepas menamatkan zaman bujang dan kemudian bergelar seorang bapa, perlahan-lahan bintangnya mulai malap.

Namun situasi tersebut tidak mematahkan semangatnya daripada terus berjuang merelevansikan nama dalam industri seni tanah air.

Saharul atau nama lengkapnya, Mohd. Saharul Ridzwan Hashim sendiri mengakui, waktu ‘supremasi’nya sudah berlalu dan dia sedang menelan realiti tersebut.

Produksi lari

“Sejujurnya, selepas berkahwin dan menjadi bapa, tidak banyak rumah produksi nak ambil saya berlakon lagi.

“Saya sedar, apa yang berlaku sekarang ialah satu realiti yang akan berlaku kepada semua anak seni.

“Budaya di Malaysia lain berbanding di Hollywood. Kalau di Amerika Syarikat misalnya, lagi banyak usia, lagi laku mereka kerana pengalaman dalama lakonan dan di depan kamera. Di Malaysia, budayanya bukan begitu.

STATUS Saharul sebagai suami dan bapa orang sedikit sebanyak menjadi faktor aura hero yang ada pada dirinya semakin memudar.

“Kalau sudah berkahwin, itu bermakna tunggu masa sahaja untuk perlahan-lahan kerjaya sebagai pelakon atau penyanyi berkubur.

“Kedengaran kejam dan pahit, namun itulah realitinya,” kata aktor yang pernah meledak dengan drama rantaian berjudul Hati Perempuan sekitar 2015.

Mengulas lanjut, bapa kepada dua orang cahaya mata itu berkata, sekarang dia sudah boleh menerima hakikat tidak lagi diberi peluang dan ruang untuk menjayakan watak hero.

PADA saat dirinya kurang mendapat tawaran dalam lakonan, Saharul cuba meneroka dunia perniagaan dan bekerja keras demi kelangsungan hidup bersama keluarga dan anak-anak yang semakin membesar.

“Saya sudah boleh terima hakikat untuk jadi abang kepada hero. Maknanya bukan lagi watak utama.

“Dari semasa ke semasa, putaran itu akan terus bergerak. Mungkin suatu hati nanti hanya berlakon watak bapa, seterusnya watak orang tua seperti datuk dan sebagainya.

“Bergelar anak seni dan berada dalam industri ini, kita perlu sentiasa tanamkan dalam fikiran yang tidak selamanya kita akan jadi pilihan utama.

“Untuk itu, sediakanlah payung sebelum hujan,” katanya.

Sumber rezeki

Menyedari perkara tersebut, suami kepada usahawan, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir perlu berpijak di bumi nyata.

Dia mula ‘menebuk’ sumber-sumber rezeki yang lain untuk kelangsungan hidup.

Selepas beberapa siri kegagalan dalam perniagaan seperti Serunding SR dan skrub muka jenama sendiri, Saharul kini muncul dengan perniagaan baharu atas namanya sendiri iaitu Ode, jenama wangian aromakologi untuk kegunaan di rumah dan dalam kereta.

SAHARUL tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap pendapatan sebagai pelakon. Dia kini memulakan perniagaan sendiri iaitu wangian kereta dan kediaman rumah, Ode Scents.

“Orang cakap senang kalau selebriti nak mulakan perniagaan. Buat produk apa-apa sahaja terus meletup. Bagi saya, tidak benar dan bukan semudah itu.

“Sebelum ini, saya banyak kali gagal dalam berniaga. Berniaga serunding belum sampai ke pelanggan, sudah berkulat. Skrub muka pun tak laku. Sebab apa? Sebab saya tidak ada ilmu.

“Dahulu, saya fikir berniaga boleh main redah dengan bergantung kepada pengikut berjuta dalam Instagram. Sebenarnya, untuk berjaya dalam bisnes, perlu lebih daripada itu.

“Perlu ada ilmu, perlu bergaul dengan orang yang berminat dalam dunia perniagaan.

“Macam sekarang ada aplikasi Clubhouse, gunakan sebaik-baiknya untuk tambah ilmu dan menggali peluang yang ada,” ujarnya.

Hobi yang serius

Ditanya lebih terperinci tentang kegagalan perniagaan lama, Saharul mendedahkan, dia pernah kerugian puluhan ribu ringgit kerana membuta-tuli melabur wang dalam perniagaan.

“Dahulu, saya buat bisnes skrub muka, orang tak beli. Saya laburkan wang untuk bisnes serunding tetapi wang lebur lebih kurang RM20,000.

“Apa pun, sebelum mengecap kejayaan, saya percaya, ada ada banyak siri kegagalan. Saya pegang kata-kata idola saya, Shuib.

“Dia cakap, kalau tak jadi, kita buat sampai jadi sampailah kita berjaya. Insya-Allah,” katanya.

SAHARUL bersama rakan kongsinya, Nadzir Samsuddin yang bersama-sama membangunkan jenama Ode Scents.

Finalis Hero Remaja 2011/2012 itu turut mengidolakan Datuk Rosyam Nor dalam bidang perniagaan dan lakonan.

Sebelum menggulung perbualan, Saharul dijentik persoalan sama ada melihat kerjaya lakonan kini bukan lagi satu kerjaya yang berbaloi untuk dikerjakan.

Lebih-lebih lagi, pada tempoh virus Covid-10 masih meliar yang benar-benar membantutkan industri.

“Kita kena sedar. Populariti tidak akan kekal lama. Boleh datang dan pergi.

“Saya tak boleh salahkan sesiapa jika orang sudah tak minat saya lagi seperti dahulu.

“Tetapi tidaklah terfikir sampai nak tinggalkan industri ini. Tempoh 10 tahun itu panjang. Dengan pekerjaan inilah saya boleh beli rumah, berkahwin dan dapat perihal pengalaman positif lain.

“Berlakon tetap menjadi minat utama saya. Saya pegang kata-kata seseorang. Jadikan berlakon sebagai satu hobi yang serius. Itu yang saya lakukan sekarang,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI