fbpx
Noor Hisham

Jauhi hospital dan elak lawat pesakit buat masa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan menjauhi hospital buat masa ini dan tidak digalakkan melawat pesakit di hospital bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini sudah banyak hospital yang bukan dikhususkan untuk Covid-19 sudah mula mengambil pesakit Covid-19 untuk dirawat.

“Justeru, kami tidak galakkan pelawat datang ke hospital,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau memberi nasihat berkenaan susulan dakwaan satu kes jangkitan Covid-19 membabitkan pesakit yang dimasukkan ke Hospital Serdang untuk penyakit lain tapi dijangkiti wabak itu disyaki daripada kakitangan hospital.

Noor Hisham berkata, kementerian sedia maklum kes berkenaan dan ia masih dalam siasatan.

Menurutnya, jangkitan boleh berlaku dalam kalangan pekerja atau petugas kesihatan atau antara pesakit dengan petugas kesihatan.

“Kami sedang jalankan siasatan mengenai kes itu. Jika perlu, kita akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) lawatan pesakit bagi elak jangkitan dalam kalangan petugas atau pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati dua faktor yang menyebabkan kes jangkitan tinggi membabitkan pusat tahanan dan depot tahanan.

“Pertama adalah kesesakan di dalam pusat tahanan dan depot tahanan berkenaan yang memudahkan virus berjangkit manakala, yang kedua adalah pesakit dijangkiti ketika pergerakan ke pusat tahanan lain, mahkamah atau penjara.

“Walaupun sudah ada SOP ketat namun, ada kalanya jangkitan tetap berlaku disebabkan kesesakan di pusat tahanan dan depot tahanan itu.

“Jangkitan bukan hanya membabitkan banduan sebaliknya turut bermula daripada warden dan petugas,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN