fbpx

Tiga wanita, seorang lelaki ditahan ingkar PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang wanita yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti perjudian di sebuah premis menjual nombor loteri berlesen di Taman Universiti, di sini semalam.

PETALING JAYA – Tiga wanita ditahan selepas terlibat dengan aktiviti perjudian dalam operasi ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 50 hingga 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kesemua suspek ditahan ketika sedang menjalankan perniagaan berkaitan di sebuah premis menjual nombor loteri yang berlesen di kawasan Taman Universiti, di sini.

“Kita menahan mereka kerana menjalankan perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu untuk beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan.

“Turut dirampas sekeping kertas putih bertulis beberapa angka, sekeping resit pembelian dan tujuh keping slip pembelian bertulis angka nombor loteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, dalam operasi sama, Nik Ezanee berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga asing kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam sebuah restoran di Kota Damansara, di sini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, bagi tangkapan pertama, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Tambahnya, ketiga-tiga wanita itu turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Sementara itu bagi tangkapan kedua, kes disiasat mengikut seksyen sama serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI