fbpx
Gambar menunjukkan seorang wanita menuruni anak tangga Piramid El Castillo yang menarik perhatian pengunjung lain di Mexico baru-baru ini. – DAILY STAR

Wanita mabuk daki Piramid El Castillo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR MEXICO – Pengunjung yang melawat tapak ­Piramid El Castillo terkejut apabila melihat seorang wanita mendaki binaan itu di bandar Chichen Itza, Mexico baru-baru ini, lapor akhbar Daily Star.

Akhbar tempatan, El Universal melaporkan seorang wakil Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan (INAH) menyatakan wanita yang tidak dikenali itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

Selain itu, wanita ber­kenaan dilaporkan mendaki piramid itu kerana mahu menunaikan janji mendiang suaminya ­untuk menabur abu mayat di kawasan terbabit.

Kenyataan INAH menyatakan wanita itu menafikan ada menabur abu mayat mendiang suami atau objek lain di atas ­piramid berkenaan.

Piramid El Castillo mem­punyai 91 anak tangga dan se­tinggi 29 meter.

Kementerian Kebudayaan Mexico menyatakan pengawal di Tapak Warisan Dunia itu mengarahkan wanita ber­kenaan turun dari piramid sebelum diserahkan kepada polis.

“Anggota keselamatan zon arkeologi telah meminta wanita itu turun sebaik melihat dia mendaki piramid berkenaan.

“Selepas wanita itu turun, dia diserahkan kepada polis daerah kerana melanggar peraturan di Tapak Warisan Dunia berkenaan,” katanya.

Pihak berkuasa melarang pengunjung mendaki binaan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu selepas seorang wanita maut akibat terjatuh dari piramid ber­kenaan pada 2006. – Agensi