fbpx

Tidak patuh SOP, pasar tutup 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung Pasar Apollo Raja Uda di Butterworth yang ditutup tujuh hari didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal.

SEBERANG PERAI – Pihak berkuasa mengarahkan Pasar Awam Apollo Raja Uda, Butterworth di sini ditutup selama tujuh hari selepas mendapati pengunjung dan pihak pengurusan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pemeriksaan hari ini.

Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira 2 jam bermula pukul 8.30 pagi itu dibuat bagi memastikan pengunjung dan penganjur pasar mematuhi SOP.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemeriksaan mendapati tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung di pasar berkenaan.

“Penganjur juga didapati tidak mengawal had keluar dan masuk pelanggan, manakala kawasan di dalam pasar terlampau sesak sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

“Laluan masuk ke dalam pasar juga tidak ditanda jarak fizikal dan orang awam beratur sehingga ke bahu jalan sehingga boleh membahayakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, polis telah mengarahkan penganjur membuat perancangan pengurusan bagi mengawal pelanggan dengan lebih sistematik dan mematuhi SOP.

“Wakil Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan notis penutupan operasi pasar itu selama tujuh hari bagi tindakan susun atur semula sistem keluar dan masuk orang awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pemantauan pihaknya di Pasar Awam Bagan Ajam, Butterworth di sini bagaimanapun mendapati penganjur tidak mengawal had keluar dan masuk pelanggan.

“Laluan ‘lorong tikus’ tidak ditutup dengan sempurna sehingga pengunjung boleh mencuri masuk melaluinya.

“Kita memberi amaran supaya penganjur membuat susun atur semula siatem keluar dan masuknya,” katanya.

Operasi berkenaan disertai Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan KKM.

Negeri ini melaksanakan PKP selama 14 hari sehingga 26 Januari depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI