fbpx

Empat hari PKP, hanya 1,596 kenderaan diluluskan rentas daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Polis Diraja Melaysia (PDRM) negeri ini hanya meluluskan sejumlah 1,596 buah kenderaan yang membuat permohonan untuk merentas daerah sepanjang empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bermula Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, kesemua yang diberikan kelulusan telah mengemukakan dokumen atau sebab yang kukuh termasuk atas urusan kerja, pendidikan dan kecemasan.

“Bermula daripada Rabu sehingga semalam, kita hanya meluluskan sebanyak 1,596 permohonan bagi rentas daerah yang dibuat selepas meneliti sebab bagi perjalanan tersebut.

“Bermula semalam juga, kita telah menjalankan penguatkuasaan rentas daerah dengan lebih tegas membabitkan pemeriksaan di kesemua 15 sekatan jalan raya (SJR) tetap di negeri ini dan 11 SJR bergerak (mobile),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pemeriksaan SJR di Tol Ayer Keroh, di sini, malam tadi. Turut hadir ialah Komander Artileri 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Datuk Noor Sazali Puteh dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Datuk Yusof Jantan.

Mengulas lanjut, Shahrul memberitahu, sehingga semalam sebanyak 17,392 buah kenderaan telah diperiksa dengan 74 daripadanya diarahkan berpatah balik.

“Mereka diarahkan berpatah balik selepas gagal menemukan dokumen kebenaran merentas daerah dan memberikan alasan yang tidak dikategorikan sebagai kecemasan, termasuk ingin menziarahi saudara-mara.

“Bagaimanapun, berbanding pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0, kita dapat melihat masyarakat kini lebih matang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila tiada kompaun membabitkan kesalahan rentas daerah dikeluarkan sejak hari kedua,” katanya.

Sementara itu, Noor Sazali berkata, seramai 181 pegawai dan anggotanya telah ditempatkan di kesemua 15 SJR bagi bersama-sama membantu PDRM mengawal pergerakan keluar dan masuk kenderaan di negeri ini.

“Kita juga menggerakkan sebanyak 15 buah kereta peronda (MPV) untuk memantau pergerakan orang awam. Pihak kami sentiasa bersedia untuk meningkatkan jumlah penguat kuasa mengikut keperluan,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI