fbpx

Peluang mantapkan pasukan hoki kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

SUKA atau tidak, penganjuran saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang dijadualkan bermula Khamis lalu sememangnya wajar ditangguhkan ke satu tarikh baharu disebabkan jumlah peningkatan kes wabak Covid-19.

Ia juga selaras dengan pe­nguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula Rabu hingga 26 Januari ini di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya), Se­langor, Sabah, Pulau Pinang, ­Me­laka dan Johor.

Berikutan itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tiada pilihan selain mengikut perintah tersebut memandangkan venue MHL 2021 iaitu Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil berada dalam senarai negeri PKP.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh memaklumkan bahawa penganjuran semula liga hoki berprestij negara itu dijangka sekitar Julai atau Ogos depan atau apa-apa tarikh sesuai bergantung kepada situasi se­masa Covid-19.

Sehubungan itu, badan induk sukan hoki negara tidak perlu bimbang kerana penangguhan MHL 2021 yang sepatutnya menjadi kejohanan pertama dalam kalendar sukan tahun 2021 memberi lebih banyak kesan positif daripada impak negatif.

Malah, ia dilihat lebih me­nguntungkan kesemua pasukan bertanding.

Bekas penyerang skuad hoki negara, Rodzhanizam Mat Radzi berpendapat penangguhan itu juga boleh mengelak daripada wujudnya kluster baharu.

“Ini yang sepatutnya dilakukan demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Ia memberi peluang kepada setiap pasukan mempersiapkan diri kerana mempunyai tempoh masa yang lebih lama dan tidak tergesa-gesa untuk membentuk keserasian antara pemain,” ­katanya.

MHC menerusi satu kenya­taan baru-baru ini menegaskan, pihaknya akan terus bergerak seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Rata-rata jurulatih dan pemain kebangsaan juga bersetuju dengan penundaan MHL kerana merasakan ia tidak meninggalkan impak negatif kepada skuad negara.

Sebaliknya, pengendali skuad pembangunan wanita negara, Lailin Abu Hassan menjelaskan, anak-anak buahnya sudah berpengalaman berlatih dalam tempoh PKP.

Lailin yang juga ketua jurulatih PKS Uniten-KPT percaya, badan-badan bertanggungjawab sukan negara terutama hoki ada kaedah latihan tersendiri buat para pemain.

“Tahun lepas pun kita alami nasib sama. Jadi, penangguhan MHL tidak menghalang pemain kerana mereka tetap perlu berlatih secara bersendirian.

“Dari sudut pasukan untuk saingan MHL 2021, PKS Uniten-KPT tiada masalah kerana ada lebih banyak tempoh masa untuk kembali mempersiapkan pasukan jika kejohanan dianjurkan seperti apa yang dikatakan MHC iaitu sekitar Julai atau Ogos depan,” jelasnya.

Sebanyak lapan pasukan akan bersaing pada MHL 2021 iaitu juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Universiti Teknologi Mara, Maybank, Sabah dan Nurinsafi.

Kategori wanita pula menyaksikan dua pasukan baharu bakal membuat penyertaan sulung iaitu Young Tigress dan UniKL Ladies yang akan berentap dengan PKS Uniten-KPT, Blue Warriors, Mutiara Impian serta Sabah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI