BEBERAPA buah basikal yang ditunggang beberapa pemuda dilihat meluncur laju membelah laluan jalan bergetah berwarna biru.
Sekali-sekala, deruman enjin pesawat yang melintasi ruang udara menemani kayuhan mereka pada awal pagi itu.
Sambil menikmati keindahan pemandangan, mereka mula menambah kelajuan basikal. Riak teruja jelas terpancar pada wajah masing-masing.
Biarpun kayuhan yang dibuat semakin laju, namun mereka langsung tidak bimbang kerana itu merupakan laluan yang selamat bagi aktiviti berbasikal.
“Setiap kali basikal bergerak, saya terasa seperti terbang di langit biru.
“Kini saya mampu mengayuh basikal tanpa perlu bimbang keselamatan diri,” kata salah seorang pengayuh yang enggan dikenali.
Umum mengetahui, aktiviti berbasikal tidak mempunyai platform kayuhan khas seperti sukan lain. Kebiasaannya, jalan raya sering dijadikan ‘trek’ berbasikal.
Atas faktor itu juga, kerajaan Thailand membina sebuah laluan trek berbasikal yang dikenali sebagai Sky Lane atau Happy and Healthy Bike Lane.

Nama tersebut dipilih oleh Raja Thailand pada waktu itu, King Bhumibol Adulyadej dan dikendalikan bersama Airports of Thailand Plc serta Siam Commercial Bank Plc.
Laluan trek sepanjang 23.5 kilometer (km) yang terletak di sekitar Lapangan Terbang Suvarnabhumi itu merupakan trek pertama dibina di Asia dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.
Dibuka kepada umum pada tahun 2015, namun populariti Sky Lane hanya menginjak naik di mata dunia baru-baru ini tatkala sukan itu mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Jalan Raya Luar Bandar Thailand, Darun Saengchai, selain mahu menyediakan platform berbasikal yang selamat buat penduduk di negara tersebut, Sky Lane juga bertujuan mempromosi gaya hidup sihat dan menjadi lokasi tarikan pelancongan baharu buat negara itu.
“Mungkin sebelum ini ramai yang ingin berbasikal tetapi berasa takut dan tidak selamat kerana perlu melalui jalan berbahaya serta bercampur dengan kenderaan-kenderaan lain di Bangkok
“Ditambah pula dengan insiden kemalangan yang meragut nyawa dalam kalangan pengayuh basikal.
“Justeru, dengan menggunakan trek ini, individu kini akan berasa lebih selamat dan dilindungi daripada lalu lintas kenderaan bermotor selain membolehkan aktiviti kayuhan basikal dilakukan dengan gembira bersama keluarga terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas,” ujarnya.

Secara keseluruhan, pembinaan Sky Lane menggunakan 40 tan getah asli dengan menelan kos sebanyak 4,800,000 baht (RM646,241).
Penggunaan getah asli sengaja dipilih kerana bahan tersebut mempunyai daya cengkaman permukaan yang kuat dan mampu memastikan keselamatan individu sentiasa berada dalam keadaan optimum biarpun pada waktu hujan.
Mula dibuka kepada orang ramai sekitar 2015, namun Sky Lane ditutup buat sementara waktu pada bulan April 2017 untuk tujuan naik taraf secara besar-besaran dan dibuka semula pada awal Disember lalu untuk orang ramai.
Sky Lane yang berwajah baharu itu merupakan cetusan idea Pengarah Siam Commercial Bank, Dr. Vichit Suraphongchai.
Idea asalnya itu kemudian dikembangkan bersama rakan baiknya, seorang jurutera awam dari New Zealand, David Mulligan yang sebelum ini memiliki syarikat yang menyediakan pengurusan, reka bentuk dan pembinaan Hospital Nursing Home di Bangkok.
Sebelum dinaik taraf, Sky Lane hanya memfokuskan trek laluan kayuhan berbasikal sahaja.
Begitupun, Vichit bersama Mulligan menambah baik platform tersebut dengan mewujudkan konsep kemudahan berbasikal bertaraf dunia bagi mempromosikan gaya hidup sosial yang sihat kepada masyarakat setempat serta pelancong asing.

menggunakan 40 tan getah
asli dengan kos RM646,241.
“Laluan selebar 3 meter itu dirancang dengan teliti bagi memastikan ia memenuhi standard keselamatan dan kejuruteraan di peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh, di trek tersebut kami turut membina pusat hentian untuk orang ramai berehat pada jarak 5 hingga 10 kilometer di setiap laluan,” jelasnya.
Disebabkan idea asal pembinaan trek itu untuk menawarkan persekitaran kondusif dan selamat, perkhidmatan perubatan percuma turut disediakan di kawasan tersebut.
“Perkhidmatan ini hasil kerjasama dengan Hospital Samitivej bagi membantu individu mengalami kecederaan atau kecemasan di trek itu.
“Terdapat dua stesen kesihatan disediakan iaitu pertama di pusat basikal dan kedua di pertengahan jalan laluan bagi memastikan petugas dapat memberikan bantuan secepat mungkin jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Terangnya, biarpun terdapat perkhidmatan sewaan basikal, namun kami menyedari ramai yang lebih selesa membawa basikal sendiri.
Justeru pihaknya turut menyediakan tempat letak kenderaan yang boleh menempatkan sehingga 1,500 buah kenderaan pada satu-satu masa.

Masuk secara percuma setiap hari, orang ramai kini mampu menikmati kayuhan secara selamat dan selesa sambil menikmati keindahan alam.
Memahami kelajuan kayuhan basikal yang berbeza antara individu, Sky Lane membahagikan trek kayuhan kepada dua bahagian iaitu laluan berwarna biru untuk penunggang yang ingin membuat kayuhan santai, manakala laluan ungu untuk penunggang laju.
Trek lebih pendek iaitu sejauh 1.6km turut dibuat antara kedua-dua laluan untuk individu yang ingin membuat kayuhan singkat atau berjoging.
Begitupun kerajaan Thailand berminat membina laluan basikal di seluruh negara dan meningkatkan insfrastruktur pengangkutan untuk mempromosikan basikal dan berjalan kaki di laluan bermotor.
















