fbpx
Penghantar makanan itu meninggalkan rumah pelanggan bersama-sama makanan yang dihantar kerana tidak dibayar duit tip seperti diminta. – YouTube/DriverMan

‘Rider’ ambil balik makanan kecewa dapat tip sedikit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang penghantar makanan bertindak membawa pulang makanan yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan ke­rana berang diberikan duit tip yang sedikit.

Menurut laporan akhbar Daily Star kelmarin, penghantar makanan itu bertengkar dengan pelanggan kerana hanya diberikan tip sebanyak AS$8 (RM32.32).

Rakaman sistem televi­syen litar tertutup di pintu kediaman pelanggan terbabit di Smithtown, Long Island itu tular di laman You Tube.

“Saya fikir anda tidak menyedari jarak antara restoran dengan rumah anda kerana jika anda tahu, anda tidak akan memberikan tip yang sangat sedikit.

“Saya memandu selama 40 minit dan sejauh 12.5 kilometer untuk menghantar makanan ini ke rumah anda,” kata penghantar makanan wanita itu.

Penjelasan wanita itu tidak diendahkan pelanggannya yang men­dakwa bahawa makanan sepatutnya sampai ke rumah­nya dalam masa 15 hingga 20 minit.

Penghantar makanan itu tetap bertegas supaya pelanggannya membayar tip yang lebih banyak, namun permintaannya tidak dilayan.

Berang dengan situasi itu, dia meninggalkan rumah pe­langgan sambil membawa makanan yang dipesan bersama-samanya.

Klip video itu menerima pelbagai reaksi dengan ramai netizen menyokong pelanggan tersebut kerana jarak antara restoran dan alamat yang disebut tidak sejauh seperti didakwa penghantar makanan itu.

Jurucakap syarikat penghantaran makanan berkenaan, DoorDash dalam satu kenyata­an memberitahu, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku.

“Dasher (penghantar maka­nan) yang terlibat telah diberhentikan daripada platform ka­mi. Kami telah menghubungi pelanggan terbabit untuk menawarkan ganti rugi dan kesal kerana kejadian seperti ini bertentangan dengan prinsip syarikat,” katanya. – Agensi