fbpx

Lagi kilang buang sisa industri malam minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI JAS Selangor mengeluarkan notis POK kepada sebuah kilang di Shah Alam, malam tadi

SHAH ALAM – Pembuangan sisa industri terus berlaku pada malam minggu apabila terbaharu mengesan tindakan dilakukan sebuah kilang pembuatan berasaskan bahan kimia di daerah ini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, perbuatan kilang yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu itu terbongkar hasil pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, trend itu menjadi semakin digemari sebagai jalan mudah bagi membuang sisa industri tanpa rawatan sewajarnya.

Katanya, pihaknya juga mendapati rekod jumlah aduan pencemaran yang diterima adalah lebih tinggi berlaku pada hari cuti dan hujung minggu.

“Siasatan mendapati kilang itu melepaskan efluen secara pintasan ke longkang awam yang boleh mengalir sehingga Sungai Klang seterusnya mencemarkan sungai berkenaan.

“Notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 telah dikeluarkan bagi memastikan tindakan pembaikan diambil segera oleh pihak kilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan mendapati kilang tersebut pernah dikesan melakukan pencemaran dua tahun lalu.

Nor Aziah berkata, fokus pemantauan dilakukan meliputi premis-premis kilang di beberapa kawasan perindustrian di Shah Alam, Bestari Jaya, Semenyih, Sepang dan Kuala Langat yang pernah diadu melakukan pencemaran.

“Kita memberikan amaran tegas kepada pihak industri supaya tidak sewenang-wenangnya melepaskan sisa pencemaran bagi mengelakkan sebarang pencemaran alam sekitar,” jelasnya.

Kosmo pada 31 Disember lalu melaporkan tindakan sebuah kilang makanan mengambil kesempatan melepaskan sisa pemprosesan terus ke longkang awam ketika hujung minggu terbongkar selepas dikesan pihak berkuasa di sekitar daerah ini pada 27 Disember lalu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI