fbpx

Ikan, sayur dijual di Kedai Mesra Petronas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Orang ramai kini boleh mendapatkan bekalan produk makanan segar di Kedai Mesra Petronas menerusi pelancaran program Segar@Mesra dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Buat permulaan, empat buah stesen Petronas terlibat dalam program berkenaan iaitu Stesen Petronas Unikeb 2, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi; Stesen Petronas Persiaran Jaya, Sungai Ramal Dalam; Stesen Petronas Prima Saujana 2, Kajang dan Stesen Petronas Pelangi Semenyih.

Kualiti dan kesegaran bara­ngan dijamin ke­rana pembekalnya terdiri daripada agensi di bawah MAFI iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Persatuan Nelayan Kebangsaan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif/Peng­arah Urusan Petronas Daga­ngan Berhad., Azrul Osman Rani berkata, terdapat kira-kira 46 unit simpanan stok (SKU) ditawarkan termasuk sayur, buah, ikan dan ayam pada harga jualan kompetitif.

“Program ini membuka pe­luang bukan hanya kepada Petronas untuk turut sama membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka, malah buat rak­yat Malaysia amnya menyokong industri pertanian tempatan.

“Kami akan meneliti dan mendengar suara pelanggan untuk tindakan seterusnya, sama ada untuk memperluaskan program ini atau menambah bilangan SKU yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Segar@Mesra di Ste­sen Petronas Prima Saujana 2 di sini semalam.

Turut hadir Menteri MAFI, Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid serta Naib Presiden Pemasaran Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias.

Menurut Ahmad Adly, pihak­nya telah melancarkan Makan@Mesra baru-baru ini yang menawarkan hidangan tempatan pada harga berpatutan bagi meme­nuhi keperluan pelanggan dan kini tawaran Kedai Mesra diperluaskan dengan Segar@Mesra.

“Menggunakan dua platform ini, Kedai Mesra Petronas berpotensi menjadi pusat kemudahan sehenti untuk semua pelanggan kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI