fbpx

PGA cekup pengedar air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daun ketum yang dirampas oleh anggota PGA Batalion 7 dalam serbuan di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang semalam.

RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai pengedar air ketum dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dalam serbuan di Kampung Gual Sitok di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 11.45 malam itu, PGA turut merampas pelbagai jenis bahan terlarang yang dianggarkan berjumlah RM2,395 termasuk empat bilah pedang.

Antara bahan terlarang yang ditemui semasa serbuan itu adalah 23 bungkus air ketum, daun ketum (10 kilogram), air ketum (25 liter), pil kuda (30 biji), ubat batuk (21 botol) dan peralatan memasak serta membungkus air ketum.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah melakukan serbuan di sebuah rumah yang tidak bernombor di kawasan tersebut.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, PGA telah menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui semua barangan itu di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 34 tahun sedang memasak sendiri air daun ketum untuk dijual kepada pembeli di sekitar kampung tersebut. Dia turut mengaku pil kuda itu untuk kegunaannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhari, suspek kedua yang berusia 35 tahun itu merupakan pembeli daun ketum daripada suspek pertama.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambah Azhari, semua barangan rampasan termasuk suspek dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI