fbpx

Keterujaan guru, kejanggalan murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

JANUARI yang dinanti telah pun tiba. Bulan yang menghimpunkan pelbagai detik penting kepada rakyat Malaysia.

Bermula hari ini iaitu 4 Januari, para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula mengetahui status permohonan i-Sinar masing-masing. Kita doakan agar semua permohonan diluluskan.

Bulan ini juga, pembayaran Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0 Fasa 2) akan dibuat melibatkan hampir 10 juta rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan M40.

Pembayaran kali ini juga akan melibatkan mereka yang mengemukakan rayuan. Kita doakan agar permohonan peringkat rayuan juga akan diluluskan kerajaan.

Seperkara lagi yang akan berlaku pada bulan ini pastinya pembukaan semula sesi persekolahan.

Tarikh 20 Januari itu mungkin dinantikan ramai pihak termasuk guru-guru dan para ibu bapa.

Bagaimanapun, bagi sesetengah murid, ia bagaikan ‘mimpi ngeri’ yang bakal mengganggu hari-hari indah percutian mereka.

Selepas bercuti panjang hampir tiga bulan, rasa janggal pasti dirasai oleh anak-anak kita terutama mereka yang berada di Tahap 1 melibatkan murid-murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

Bukan sesuatu yang mudah, malah ‘norma baharu’ yang mereka lalui selama ini bakal berakhir dan kehidupan sebagai seorang murid akan kembali seperti biasa.

Tiada lagi yang boleh tidur lewat sehingga ke larut malam dan tiada lagi yang dibenarkan menghadap telefon bimbit 24 jam.

Sesi bermain basikal dan menendang bola di padang pada waktu petang juga akan terbatas. Sebaliknya, anak-anak ini akan melalui hari-hari mereka mengikut jadual yang ditetapkan. Tidur awal, bangun awal dan habiskan masa dengan belajar.

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan (setakat Julai 2020), jumlah pelajar di Malaysia adalah seramai 4,987,401 orang.

Data sama turut menunjukkan bilangan guru adalah seramai 416,743 orang dan mengajar di 10,220 buah sekolah di seluruh negara.

Melihat kepada statistik itu, kita perlu akui jutaan murid di seluruh negara bakal menghadapi sesi persekolahan yang cukup mencabar. Mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, proses pengajaran dan pembelajaran juga mungkin sedikit berbeza.

Dalam hal ini, kepercayaan penuh perlu diberikan kepada 416,743 warga pendidik dan pentadbir sekolah untuk menghilangkan rasa janggal yang ada dalam diri anak murid.

Diakhirnya, kita juga perlu berdoa agar sesi persekolahan tahun ini dapat berjalan lancar sekalipun Malaysia masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI