fbpx

Bayi kembar, warga emas antara dipindahkan akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba membawa keluar bayi perempuan kembar ke tempat selamat setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan hari ini.- Foto IHSAN JBPM.

TELUK INTAN – Bayi perempuan kembar dan wanita warga emas antara penduduk daripada 110 keluarga di lima buah kampung di sini yang terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dilanda banjir sejak semalam.

Bayi berusia tiga bulan bersama lima ahli keluarga lain dari Kampung Batu 9 Simpang 3, Jalan Changkat Jong itu dibantu keluar oleh anggota bomba setelah rumah mereka dinaiki air pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, operasi menyelamatkan mangsa banjir bermula semalam setelah menerima panggilan pada pukul 5.44 petang.

Katanya, lima buah kampung terlibat iaitu Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Sungai Rambai Chikus, Kampung Kilang Kacang, Langkap dan Kampung Batu 9 Simpang 3, Jalan Changkat Jong.

“Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir.

“Operasi menyelamat dengan memindahkan mangsa yang terlibat segera dijalankan dengan sebahagian mereka dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ada yang menumpang di rumah saudara-mara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ismail, empat PPS dibuka iaitu Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Langkap, Dewan Perbandaran Teluk Intan, Dewan Orang Ramai Tanjung Keramat, Dewan orang ramai Chikus dan Sekolah Kebangsaan Sri Langkap.

Katanya, operasi disertai 11 anggota BBP Teluk Intan dengan dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Batu 12 dan PBS Langkap masing-masing dengan lapan dan tiga anggota.

“Dua buah bot PBS Teluk Intan digunakan dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir selain tiga kenderaan bomba dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Tambah beliau, operasi tersebut turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI