fbpx

Banjir kilat landa Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN banjir kilat di Bandar Lama Gua Musang malam tadi.

GUA MUSANG – Penduduk Gua Musang menyifatkan banjir kilat yang melanda 10 kawasan di sekitar daerah ini merupakan kejadian mengejutkan selepas berlaku hujan berterusan sejak semalam.

Hujan itu menyebabkan longkang dan sungai tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sehingga air melimpahi tebing.

Seorang mangsa banjir yang tinggal di Kampung Baru, Rokiah Tahir, 52, berkata, kejadian banjir kilat itu amat mengejutkan keluarganya

Katanya, air mulai naik pukul 11 malam tadi selepas hujan turun berterusan.

“Air sungai Galas berhampiran rumah naik dengan begitu cepat menyebabkan saya sehelai sepinggang berpindah ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 di sini.

“Saya bersyukur sempat mengambil dokumen penting dan menyimpan ya di kawasan tinggi selepas menyedari air naik melepasi paras lutut,” katanya.

Menurut seorang lagi penduduk, Sharifah Mat Ali, 48, yang tinggal di kawasan setinggan Sungai Cindai di sini, dia bersama lima beranak berdepan detik cemas kerana air naik cepat meskipun hujan semakin reda.

Katanya, air sudah surut semula pagi ini dan dia akan pulang ke rumah untuk membersih lumpur.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, banjir kilat yang berlaku itu disebabkan limpahan air dari sungai yang meningkat secara mendadak.

Katanya, sejak pukul 11.30 malam tadi, dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka di SMK Tengku Indra Petra 1 dan Balai Raya Kampung Batu papan.

“Seramai 296 orang mangsa melibatkan 73 keluarga ditempatkan di dua PPS itu.

“Bagaimanapun, bermula pukul 7 pagi ini, mangsa banjir beransur pulang ke rumah selepas air surut mulai pukul 3 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah Choon Foo, antara laluan berhampiran kawasan sungai dan rendah dinaiki air dan surut pagi ini ialah seperti di Kampung Kolam Mas, Kampung Batu 1, Bandar Lama Gua Musang, Kampung Baru Hilir, kawasan perindustrian Ladang Chin Teck, Kawasan Industri dan Kampung Kerinting. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI