fbpx

Periksa rumah ke rumah sebelum dibenarkan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail diiringi Ayob Khan ketika melakukan lawatan ke PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Pihak berkuasa dengan kerjasama agensi keselamatan akan membuat pemeriksaan dan semakan dari rumah ke rumah bagi memastikan keadaan selamat sebelum membenarkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang ke rumah masing-masing.

Penghulu Mukim Plentong, Mohd. Nurul Faiz Aman berkata, lebih separuh mangsa banjir yang dipindahkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, di sini membuat permohonan untuk pulang ke rumah setelah keadaan banjir mulai surut.

Katanya, PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru antara yang terkawal dibuka pada 1 Januari lalu bagi menempatkan 226 mangsa banjir daripada 47 keluarga dari Kampung Persiaran, Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai.

“Berdasarkan keadaan semasa cuaca serta keadaan banjir, tiada halangan buat mereka di sini untuk boleh pulang ke rumah masing-masing.

“Namun, kita akan membantu mangsa ini dahulu dengan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah dengan agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan rumah selamat didiami,” katanya ketika ditemui hari ini.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru masih akan dibuka sekiranya terdapat keperluan sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkesempatan mengadakan lawatan ke PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru bagi meninjau keadaan PPS terbabit.

“Kalau ada apa-apa yang diperlukan, bagitahu,” ringkas kata Tunku Ismail ketika meninggalkan Dewan tersebut diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bagi meninjau keadaan di PPS lain yang menempatkan penduduk setempat terjejas bencana banjir.

Nurul Faiz berkata, Tunku Ismail meminta mangsa banjir terbabit diberi perhatian dan dibantu ketika menempuh saat sukar ini.

“Tunku Ismail turut mengingatkan bagi mengumpul maklumat mangsa banjir ini bagi memudahkan agensi berkaitan menyalurkan bantuan selepas ini,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membersihkan rumah disusuli dengan pemberian bantuan berupa barangan keperluan asas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI