JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor mengeluarkan sebanyak 836 notis bagi pelbagai kesalahan pada OPS Ambang Tahun Baru, semalam.
Menurut kenyataan JPJ Johor, operasi tersebut diadakan di beberapa tempat di seluruh negeri ini antaranya di Kilometer (KM)1, Jalan Ayer Hitam; Jalan Sultan Ismail; Jalan Lido, Johor Bahru dan beberapa kawasan lain lagi.
Katanya, operasi itu melibatkan seramai 164 orang pegawai dan anggota dan turut dibantu oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 836 notis telah dikeluarkan dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 198, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1992.
“Antara kesalahan yang dilakukan antaranya lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh, penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spefikasi yang ditetapkan, penggunaan lampu HID dan lain-lain kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan rasmi di Facebook JPJ Johor hari ini.-K! ONLINE














