fbpx

Perjawatan kontrak ikut undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina (tengah) bergambar bersama Mohamed Iqbal (tiga kiri) dan Nasri (empat kanan) selepas menerima 'mock cek' sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Korporat kepada Yayasan Kebajikan Negara di KPWKM di sini hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perjawatan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 8,000 jawatan dibuat mengikut undang-undang dan prosedur biasa yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, perjawatan itu juga disuarakan oleh pihak JKM sendiri sekali gus perkara tersebut tidak perlu dipolitikkan.

“Bukan saya yang kata nak 8,000, tidak. Ia ada proses, penelitian selain unjuran dan ini bukan pelantikan saya kerana kita majukan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jadi proses ini mengikut prosedur seperti biasa. Ia bukan Rina Mohd. Harun melantik orang-orang ini…tidak. Kita buat mengikut prosedur yang ada dan kalau kontrak kerajaan, sudah pasti diiklankan mengikut prosedur.

“Semua yang nak dibuat oleh kementerian ini dipolitikkan. Berusahalah berubah demi kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan korporat kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan JPA berhubung pelantikan seramai 1,122 pegawai perlindungan kanak-kanak dan pegawai akhlak pada tahun depan.

“Kelulusan ini bukan daripada saya tetapi tertakluk kepada Kementerian Kewangan dan JPA, kita mengusulkannya kerana kita rasa keperluan. Bukan saya yang melantik.

“Kalau hanya harap warga kerja JKM (melakukan kerja), mereka tidak berkemmpuan kerana ada kekangan dan bebanan,” katanya.

Sebelum ini, Rina dilaporkan berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM pada tahun depan.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipetik berkata, Rina perlu mengutamakan pelantikan pegawai perlindungan kanak-kanak berbanding mengisi kekosongan jawatan kontrak dan menjadikan JKM sebagai cabang politiknya.

Terdahulu, pada majlis penyampaian sumbangan korporat kepada YKN, sejumlah RM250,000 disampaikan kepada yayasan tersebut iaitu RM150,000 melibatkan zakat Pharmaniaga dan RM100,000 daripada Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC).

Sumbangan diserahkan kepada Rina oleh Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman manakala RMHC diwakili oleh Pengurus Besarnya, Nasri Nordin. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI