fbpx

Dedah nama pihak terlibat kartel daging haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi menunjukkan laporan polis isu kartel daging haram di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mendedahkan individu yang terlibat dengan sindiket kartel daging haram yang diragui status halalnya ke negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram yang didakwa beroperasi sejak 40 tahun lalu.

“Pendedahan kegiatan ini telah menimbulkan keresahan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam kerana melibatkan status bekalan daging import halal yang meluas di pasaran dan didakwa sudah berlaku sejak 40 tahun lalu.

“Memandangkan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam urusan kawal-selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri halal di negara ini, maka kami mendesak agar ditubuhkan segera pasukan khas bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Katanya, pemuda UMNO juga telah memperolehi beberapa maklumat penting yang melibatkan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pemprosesan daging, rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

“Kami juga ingin mendesak pihak kerajaan agar menarik semula lesen perniagaan syarikat yang terlibat bagi menghalang jenayah tersebut berterusan.

“Kita mahu bekalan daging yang melibatkan syarikat yang sedang disiasat ini ditarik semula lesen mereka dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya umat Islam tidak ragu-ragu dengan bekalan daging import yang ada di pasaran,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI