fbpx
PELAMIN yang telah dihias untuk majlis pernikahan Naim dan Fatin.

Pelamin dihias indah, majlis jadi kenduri keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Keluarga kepada Fatin Nabilah Huda Ismail tetap meneruskan ken­duri di rumahnya biarpun hasrat untuk melangsungkan pernikahan tidak kesampaian susulan kejadian lemas yang menimpa bakal pengantin lelaki pada petang kelmarin.

Bapa Fatin Nabila Huda, Ismail Awang, 61, berkata, ken­duri tersebut adalah sekadar untuk menjamu tetamu terutama mereka yang datang dari jauh.

Beliau berkata, keluarga menghargai kehadiran tetamu yang sudi datang dengan niat untuk meraikan majlis pernikahan anak perempuannya yang terpaksa dibatalkan ekoran kejadian yang berlaku di Pantai Kelulut.

“Persiapan telah lengkap, makanan sudah tersedia dan pelamin juga telah dihias indah. Walaupun sedih dan tidak menyangka kejadian ini akan menimpa bakal menantu (Naim Hariri Kamaruddin, 31), kami sekeluarga gagahkan diri juga untuk melayan tetamu yang sudah dijemput.

“Bagaimanapun, masjid akad nikah yang sepatutnya berlangsung di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di sini pada pukul 10 pagi (semalam) terpaksa dibatalkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata tetamu hadir untuk mengucapkan takziah kepada Ismail Awang, menyebabkan warga emas itu sesekali mengesat air mata.

ISMAIL

Pesara kerajaan itu membe­ritahu, Fatin Nabilah Huda yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik juga telah keluar rumah sejak awal pagi untuk melihat sendiri operasi mencari dan menyelamat Naim Hariri di Pantai Kelulut.

“Anak saya (Fatin Nabilah Huda) juga menghantar makanan kepada keluarga bakal suaminya yang menetap di sebuah resort tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Bercerita tentang Naim Hariri, Ismail memberitahu mereka sempat berbual sewaktu bakal menantunya itu berkunjung ke rumahnya untuk melihat persiapan majlis pernikahan bebeberapa jam sebelum dia dilaporkan hilang dipercayai lemas.

Ujar beliau, Naim Hariri dan Fatin Nabilah Huda telah bertunang sebulan lalu dan dijadual bernikah semalam sebelum majlis menyambut menantu di Kuala Lumpur yang dirancang 9 Januari depan.

“Saya dapat merasakan kesedihan keluarga bakal besan dan berharap bakal menantu saya (Naim Hariri) dapat ditemui segera.

“Anak perempuan saya (Fatin Nabilah Huda) agak terkejut dan trauma dengan tragedi yang berlaku ini tetapi saya percayai dia kuat dan mampu terima qada’ dan qadar ini,” katanya.