fbpx

Premis di Ipoh patuhi SOP perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAIZI (tengah) melihat plak penghargaan yang diterima Rogayah dan Norhisham (kanan) pada Majlis Penyerahan Sijil dan Plak Pemenang Bagi Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Ipoh hari ini.

IPOH – Pengusaha dan pemilik premis perniagaan di bandar ini didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus sama-sama memainkan peranan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP tersebut tetapi pada masa sama tetap melakukan pemantauan khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan kedai makan.

Menurut beliau, orang ramai juga menunjukkan kawalan kendiri yang tinggi sejak aktiviti perniagaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan bermula 24 November lalu.

“Sehingga kini aktiviti perniagaan yang beroperasi adalah mengikut seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara kecuali kelab malam dan pusat hiburan.

“Aktiviti pusat refleksologi, spa dan premis yang menyediakan makanan seperti kafe adalah dibenarkan dengan mengikut pematuhan yang ditetapkan. Pusat karaoke keluarga juga boleh dibuka tetapi hendaklah membuat tempahan awal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil dan Plak Pemenang Bagi Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di sini hari ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya masing-masing mengharumkan nama apabila meraih tempat ketiga bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.

Hadir menerima pengiktirafan ini ialah Pengetua SMK Raja Perempuan Ipoh, Datin Rogayah Shukor dan Guru Besar SK Meru Raya, Norhisham Abd. Shukor.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, Majlis Bandaraya Ipoh sentiasa menggalakkan usaha terhadap kesedaran masyarakat berhubung penjagaan tandas awam selaras dengan hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih Pada Tahun 2023.

Katanya, inisiatif tersebut termasuk menerusi pendidikan tentang penjagaan tandas pada peringkat sekolah selain menyediakan peruntukan khas bagi menjayakan maksud tersebut.

“Kita juga mahu menanamkan semangat cintakan tandas dalam kalangan warga bandar Ipoh sekali gus meningkatkan kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan dan menyelenggara tandas,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI