fbpx

Penduduk bimbang rangka jambatan dihanyut arus sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rangka jambatan Kampung Laut - Penambang yang hanyut dan tersangkut di dasar sungai di Sungai Kampung Pulau Pisang dekat Kedai Buloh, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Penduduk di pinggir sungai Kampung Pulau Pisang, Kedai Buloh di sini bimbang apabila sebahagian rangka jambatan baharu menghubungkan Kampung Laut, Tumpat ke Penambang, Kota Bharu yang sedang dalam pembinaan terjatuh sebelum ia tersangkut di dasar sungai berhampiran rumah mereka.

Kejadian itu berlaku berikutan paras air sungai Kelantan makin meningkat sejak malam kelmarin sebelum disedari oleh seorang penduduk, Mazlah Hussin, 54, kira-kira pukul 9 malam apabila dia terdengar bunyi bising dari luar rumahnya.

Katanya, dia kemudian melihat ke luar tingkap dan mendapati satu objek yang menyerupai sebuah bot besar yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah.

“Saya mengesyaki sebuah bot karam kerana 10 tahun lalu memang ada kejadian bot karam di hadapan rumah saya.

“Ada individu yang terlibat dalam projek itu memaklumkan bahawa ada sebatang balak besar yang hanyut sebelum merempuh rangka jambatan itu hingga ikatannya terputus,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Menurut Mazlah, selepas kejadian itu, beberapa pekerja projek itu datang memasang sauh bagi mengelak rangka jambatan itu terus hanyut dan boleh menyebabkan ia merempuh bot nelayan yang berada di pinggir sungai berkenaan.

Katanya, penduduk yang tinggal di pinggir sungai juga bimbang kerana mereka khuatir rangka jambatan itu merempuh rumah mereka kerana arus sungai semakin deras.

Tambahnya, dia berharap rangka jambatan itu ditarik semula ke tempat asal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI