fbpx

236 premis niaga Terengganu dikompaun SSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol (tiga dari kiri) memeriksa salah sebuah premis perniagaan di KTCC Mall di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu mengesan 236 kesalahan dilakukan premis perniagaan di negeri ini sejak awal tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, SSM Terengganu telah menjalankan sebanyak 1,292 pemeriksaan di premis niaga seluruh negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, sebanyak 236 kompaun telah dikeluarkan merangkumi 196 kesalahan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 manakala selebihnya mengikut Akta Syarikat 2016.

“Sehingga 1 Disember lalu, SSM Terengganu telah mengutip kompaun sebanyak RM1.25 juta daripada 10,536 individu dan 925 syarikat gagal mematuhi akta diperuntukkan sejak tahun 2017,” katanya selepas melakukan pemeriksaan pematuhan perniagaan di KTCC Mall di sini hari ini.

Rosol berkata, kebanyakan kesalahan yang dilakukan pemilik perniagaan atau syarikat ialah kegagalan menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan, tidak mempamerkan nombor pendaftaran syarikat atau perniagaan dan gagal menyimpan rekod perakaunan syarikat.

Tambahnya, notis peringatan selama 14 hari akan dikeluarkan kepada peniaga yang didapati tidak mendaftarkan perniagaan dengan SSM.

“Sekiranya pemilik perniagaan atau syarikat masih gagal mendaftarkan perniagaan selepas tempoh tersebut, kompaun akan dikenakan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI