fbpx
MAXUS T60 mampu untuk bersaing dengan jenama-jenama lain dengan kelengkapan aksesori yang ditawarkan.

K2

Pikap lima bintang di bawah RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANDU sebuah trak pikap untuk ke pejabat sudah menjadi trend di Malaysia sejak lebih kurang 10 tahun lalu.

Sejak trend itu mendapat sambutan dalam kalangan penduduk negara ini, pengeluar-pengeluar trak pikap sudah merevolusi kenderaan itu dengan pelbagai aksesori berbanding sebelum ini.

Kenderaan itu yang dahulunya untuk kegunaan kontraktor atau pekerja-pekerja industri berat dengan spesifikasi ‘ala kadar’ berubah menjadi sebuah kenderaan yang ‘tampan’ dan gagah untuk menarik minat para pembeli.

Jika sebelum ini, varian dengan kapasiti enjin bersesaran besar ditawarkan kerana mampu untuk membawa beban di bahagian kargo, sekarang ada trak pikap hanya menggunakan enjin 1.9 liter. Itu antara persaingan pemain-pemain dalam pasaran kenderaan tersebut.

Baru-baru ini, pengedar jenama Maxus di Malaysia, Weststar telah mengumumkan kehadiran trak pikap terbaharu mereka T60. Mungkin ramai yang perasan jenama ini jika melihat ambulans.

Kalau ada yang tidak tahu, penulis cerita sedikit sejarah Maxus ini, nama penuh syarikat tersebut ialah SAIC Maxus Automotive Co. Ltd.

Maxus yang beribu pejabat di Shanghai, China terkenal di peringkat global sebagai sebuah syarikat automotif sejak diasaskan pada tahun 2011. Mereka mengeluarkan kenderaan untuk komersial dan persendirian.

Berbalik pada Maxus T60, ia pertama kali membuat debut pada tahun 2016 di Guangzhou International Motor Show di China.

 

RUANG tempat duduk belakang yang lebih luas.

 

Pada 25 September 2017, model itu telah dilancarkan secara rasmi di Australia dan sebulan selepas itu T60 telah mendapat markah tertinggi ujian keselamatan Program Penilaian
Kenderaan Baharu Australia (ANCAP) dengan penarafan lima bintang.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadikannya trak pikap pertama dari China yang menerima pengiktirafan sebegitu tinggi.

Apa yang menarik perhatian, pihak Weststar hanya menawarkan satu varian dan varian yang ditawarkan itu sangat lengkap dengan pelbagai aksesori serta kemasan yang mampu menyaingi jenama-jenama lain yang lebih ‘senior’.

Garaj sudah memandu uji unit ini, penulis tidak mahu meletakkan penanda aras terlalu tinggi pada model ini kerana bimbang ada persepsi indah khabar daripada rupa.

Pandu uji

Sebaik mengambil unit pandu uji di Maxus Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, penilaian pertama adalah pada bahagian luarannya. Penulis diberi unit berwarna Blanc White.

Kenderaan ini kelihatan tegap dan padat kerana jeriji bersaiz besar diapit lampu utama jenis LED. Pada bahagian sisi pula, rim bersaiz 19 inci dengan tayar 255/65 jenama Continental jelas menyerlah.

 

KENDERAAN ini dilengkapi skrin sistem infortainment bersaiz 10 inci.

 

Selain itu, Maxus T60 juga hadir dengan pemijak kaki untuk memudahkan menaiki kenderaan ini. Maxus turut menawarkan sports bar dan roof rail sebagai ciri-ciri standard.
Cermin sisinya juga boleh dilipat secara elektrik dan mempunyai pemanas.

Di bahagian belakang pula, bampar belakang berwarna badan kenderaan itu dilengkapi pemantul cahaya.

Masuk ke ruang kabin, unit infortainment bersaiz 10 inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto kelihatan ketara di bahagian tengah papan pemuka. Trak pikap ini juga bebas kunci dan menggunakan butang hidup enjin.

Sterengnya pula turut dilengkapi butang kawalan Auto Cruise dan kawalan audio. Kedua-dua tempat duduk di bahagian hadapan boleh dilaras secara elektrik.

 

REKAAN papan pemuka yang tampak moden.

 

Ini yang penulis suka, ruang penumpang di bahagian belakangnya sangat selesa kerana tidak sempit. Penulis difahamkan bahagian ini lebih luas berbanding pesaing yang lain.
Secara keseluruhan, bahagian dalaman Maxus T60 ini mempunyai 21 ruang (compartment) untuk menyimpan barang.

Panjang kenderaan ini, 5,365 milimeter (mm), lebar 2,145mm dan tinggi 1,84 mm. Dengan saiz ini, tidak sukar untuk memandu kerana Maxus T60 dilengkapi dengan paparan titik buta, sensor parkir belakang dan kamera undur.

Dari segi kuasa, penulis rasa enjin 2.8 liter turbo diesel dan transmisi enam kelajuan automatiknya tidak mengecewakan kerana mampu untuk membawa kenderaan seberat 2,950 kilogram.
Tambahan pula, mod pemanduan Eco, Normal dan Power adakalanya membantu.

 

BAMPAR dengan reflektor memberikan kelainan dari segi rupa belakangnya.

Ketika hendak memotong kenderaan atau mendaki bukit, tork 360Nm pada 1,600 hingga 2,800rpm jelas terasa. Untuk makluman tangki penuh diesel bersaiz 75 liter.

Bagi sebuah kenderaan yang mendapat penarafan lima bintang ANCAP sudah semestinya lengkap dengan ciri-ciri keselamatan, Maxus T60 hadir dengan semua brek disc pada empat roda, sistem Antilock Braking System, Electronic Stability Programme dan Electronic Brake Force Distribution, Hill Descent Control, Hill Start Assist System, Roll Movement Intervention, Vehicle Dynamics Control, Traction Control System dan empat beg udara keselamatan.

Kesimpulannya, penulis yakin model ini mampu bersaing dengan nama-nama besar lain seperti Ford Ranger, Toyota Hilux, Nissan Navara dan Isuzu D-max dengan ciri-ciri atau harga (spesifikasi penuh) yang ditawarkan.

Jika anda berminat, ada enam warna pilihan ditawarkan seperti hitam, merah, kelabu, putih, perak dan biru untuk pembeli.

Maxus T60 juga hadir dengan lima tahun waranti atau jarak perbatuan 130,000 kilometer (km) mengikut mana-mana yang tiba dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN