
WARTAWAN EKSEKUTIF
DIAM tidak diam, sudah sembilan bulan kita berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang mula dikuat kuasa Mac lalu.
Bermula dengan PKP hinggalah kepada beberapa istilah yang seangkatan dengannya termasuk PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan.
Semua langkah yang diambil itu mempunyai fungsi dan tujuan yang sama, yakni bagi membendung penularan Covid-19.
Hakikat yang perlu diterima, tiada satu pun negara terkecuali secara langsung atau tidak daripada serangan virus berbahaya yang berisiko membawa maut.
Tidak dinafikan, rasa takut, gelisah, gusar dan khuatir semuanya bergabung menjadi satu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini sejak pandemik itu memasuki Malaysia pada hujung tahun lalu.
Hari ke hari, segala usaha telah dan sedang rancak dilaksanakan bagi menghapuskan penyebaran virus tersebut daripada terus mengganas.
Ekoran wabak tidak diundang ini juga, pelbagai perubahan dan impak daripadanya dapat dilihat terutama dalam konteks ekonomi, sosial dan sebagainya.
Banyak perniagaan dan perusahaan terpaksa gulung tikar kerana tiada permintaan yang wujud dan menguntungkan.
Lebih memeritkan, ramai yang dibuang kerja sekali gus hilang punca pendapatan yang selama ini digunakan untuk membayar segala komitmen.
Bahasa mudahnya, semua golongan tidak mengira status atau kerjaya mahupun latar belakang tidak terkecuali akan tempias buruk daripada pandemik tersebut.
Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, semua sektor dan industri sedang terkesan dan mengalami tekanan pada masa kini.
Justeru katanya, idea kreatif perlu segera dijana dalam usaha menambah pendapatan yang hilang akibat kehilangan kerja, pengecilan operasi syarikat dan sebagainya.
“Tidak dinafikan negara mencatatkan peningkatan jumlah kehilangan dan pembuangan kerja dari hari ke hari dalam apa jua sektor.
“Jadi, dengan tekanan yang semakin terhimpit ini, perlu difikirkan jalan penyelesaian yang perlu diambil segera,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujarnya, idea kreatif untuk menjana pendapatan kadangkala tidak perlu terlalu kompleks, cukuplah dengan mencuba sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan, namun membantu meringankan beban.
Katanya, jika dilihat golongan profesional seperti juruterbang, pramugara dan pramugari antara yang paling terjejas dan banyak diberhentikan kerjaya ekoran pengecilan operasi syarikat.
Tidak hanya profesion yang dinyatakan, golongan selebriti dan artis tanah air juga tidak terkecuali dan mengelak daripada impak percikan Covid-19.
“Kalau dahulu banyak show (pertunjukan) dan undangan nyanyian kita terima tetapi sejak Covid-19 melanda negara, semua itu terpaksa ditunda serta dibatalkan.
“Kerja-kerja azali seperti rangka promosi single terbaharu, penggambaran dan semua yang melibatkan pendapatan tidak lagi dapat dilakukan,” ujar penyanyi muda berbakat, Muna Shahirah.
Jelasnya, dia sendiri terpaksa mencari alternatif lain termasuk menjadi streamer (pemain permainan video atas talian) untuk menjana pendapatan demi kelangsungan pada waktu sukar ini.