fbpx
Dasar Undi 18 mampu meningkatkan jumlah pengundi muda, namun belum memberi impak besar terhadap struktur kuasa politik. - GAMBAR HIASAN

Hierarki jadi penghalang politikus muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANDSKAP politik negara ketika ini dilihat didominasi pemimpin berusia, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan peralihan kepimpinan kepada generasi muda.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadun, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd Sabri Md. Nor, majoriti ketua parti besar di Malaysia berusia lebih 70 tahun dan situasi itu menunjukkan berlakunya fenomena ‘penuaan politik’ yang ketara.

“Keadaan ini secara objektifnya meletakkan Malaysia di ambang satu peralihan generasi yang besar, namun proses itu tidak berlaku dengan pantas.

“Walaupun ada pemimpin muda seperti Syed Saddiq dan Anthony Loke Siew Fook, jumlahnya masih kecil berbanding pemimpin veteran,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Sabri berkata, selain itu wujud ketidakseimbangan ketara antara profil pemimpin dan demografi pengundi yang mana majoritinya berusia bawah 50 tahun.

Katanya, sekiranya jurang itu berterusan, ia boleh menjejaskan kepercayaan orang muda terhadap institusi politik. Keadaan itu berpotensi menyebabkan minat anak muda untuk menyertai politik termasuk keluar mengundi menurun.

Mengenai dasar Undi 18, beliau berkata, langkah itu sememangnya meningkatkan jumlah pengundi muda, namun belum memberi impak besar terhadap struktur kuasa politik.

Jelas beliau, faktor utama kemenangan masih bergantung kepada parti dan kredibiliti calon, bukannya usia.

“Halangan terbesar kepada kemunculan pemimpin muda adalah struktur dalaman parti politik itu sendiri.

“Sistem hierarki, budaya kesetiaan dan amalan tidak mempertandingkan jawatan utama menjadi antara faktor yang menyekat kemunculan bakat baharu. Budaya politik yang lebih mengutamakan kesetiaan berbanding idea segar turut menapis pemimpin muda sebelum mereka sempat menonjol,” ujarnya.

Selain itu, kekangan kewangan dilihat sebagai cabaran besar untuk anak muda bersaing dalam politik yang semakin kompetitif.

Mengulas mengenai peluang melahirkan Perdana Menteri muda, beliau berpandangan realiti politik Malaysia tidak memihak kepada perubahan drastik dalam tempoh terdekat.

Katanya, proses mencapai kedudukan tertinggi memerlukan pengalaman panjang dalam parti dan kerajaan berdasarkan rekod kebanyakan pemimpin mencapai jawatan itu selepas berusia 50 tahun sebelum ini.

“Ini menunjukkan laluan ke puncak politik bukan sesuatu yang singkat atau mudah,” katanya.

Mengenai komitmen parti untuk mengetengahkan calon muda, Mohd. Sabri berkata, usaha itu wujud namun masih belum mencukupi untuk membuat perubahan besar.

“Parti mungkin menampilkan calon muda, tetapi soal kemenangan adalah perkara berbeza kerana banyak faktor lain yang mempengaruhi pilihan pengundi,” katanya.

Beliau turut menekankan akan keperluan model pemimpin baharu yang lebih berintegriti, berwawasan dan berorientasikan hasil.

“Yang penting pemimpin mampu memberikan hasil dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa pembaharuan dalam sistem parti dan budaya politik, laluan untuk pemimpin muda terus kekal sempit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN