SEIRING evolusi dunia maya sempadan, populariti agamawan terutama golongan pendakwah yang menyerlah di laman sosial kini semakin setara dengan status seorang selebriti.
Bagaimanapun, seperti personaliti tersohor lain, setiap langkah serta tindakan golongan pendakwah ini pastinya sentiasa berada di bawah radar serta frekuensi netizen.
Suka atau tidak, kelompok yang dihormati ramai itu perlu menerima hakikat andai salah seorang daripada mereka ‘tergelincir’, kesannya pasti terpercik ke rakan seperjuangan lain.
Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.
Ketika timbul beberapa kes siasatan polis dan mahkamah membabitkan segelintir agamawan, muncul lah persepsi liar terhadap kumpulan itu.
Malah, agamawan yang tiada kaitan pun dicerca apabila ada dalam kalangan netizen secara pukul rata menempelak dan meninggalkan komen ‘keras’ di laman sosial.
Status sebagai tokoh atau individu berilmu tinggi dalam bidang agama selain menjadi rujukan masyarakat seolah-olah membolehkan mereka dijadikan sasaran kemarahan orang ramai.
Hakikatnya, hanya segelintir saja tersasar melakukan kesalahan jenayah selain ada sebilangan kes membabitkan beberapa individu lain kini dalam perbicaraan mahkamah.
Hakikatnya, masyarakat yang hilang kepercayaan mula meletak kesalahan terhadap mereka yang berada di lingkungan sama tanpa menyedari tindakan sebegitu sebenarnya tidak adil.
Bagi pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias, beliau memahami emosi khalayak yang tidak mampu menahan amarah apabila orang kepercayaan masyarakat serta memiliki ilmu agama tinggi sendiri terpesong.
Begitupun katanya, apa yang dilakukan mereka adalah bersifat individu serta atas kehendak sendiri, bukan mewakili keseluruhan golongan agamawan.
“Kita tidak boleh pukul rata mendakwa agamawan semua bersikap serupa apabila terjadinya kes salah laku, salah guna kuasa mahupun jenayah lain terutama yang sudah dijatuh hukum.
“Jika sesuatu kes melibatkan individu tertentu, maka individu itulah yang wajar dipertanggungjawabkan memikul kesan akibat perbuatannya. Ikutkan setiap golongan, setiap kumpulan ada saja isunya.
“Tidak perlu mengheret atau menyalahkan keseluruhan kelompok atau institusi.
“Contohnya jika berlaku pecah amanah, jangan kita hentikan derma atau sumbangan pada pihak sepatutnya seperti rumah anak yatim dan sebagainya yang langsung tiada kaitan dengan isu ini,” katanya.
Pada masa sama, Ustaz Kazim menitipkan pesanan kepada netizen agar tidak keterlaluan mengulas berkaitan sesuatu isu selain lebih berhati-hati dalam meninggalkan komen.
Tambahnya, setiap insan berdepan ujian berbeza, namun ada di antara umat Islam yang sudah tersasar dan aib mereka masih dijaga oleh Allah.
“Salah tetap salah, cuma masyarakat diharap jangan normalisasikan serangan dalam bentuk kecaman.
“Namun saya yakin, masih ramai pengguna laman sosial yang sudah matang dalam menyalurkan pendapat masing-masing terutama jika ada isu yang berlaku.
“Apa pun, jangan melampau ketika mengkritik sehingga boleh jatuh fitnah. Kita juga seharusnya perlu jaga aib sendiri,” katanya.














