Ramadan hadir bersama limpahan rahmat dan harapan. Di masjid, saf kembali rapat, di bazar Ramadan, orang ramai mencari juadah berbuka.
Namun di celah kesibukan itu, satu pemandangan yang biasa muncul saban tahun adalah deretan tangan menadah simpati di kaki lima, persimpangan jalan dan kawasan tumpuan awam.
Pengemis bulan Ramadan bukan isu terpencil, sebaliknya membentuk pola sosial yang berulang saban tahun. Bulan yang sepatutnya mengangkat martabat ibadah turut menyaksikan peningkatan aktiviti mengemis.
Secara umumnya, pengemis Ramadan boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu mereka yang benar-benar daif seperti warga emas uzur, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan. Kedua, mereka yang menjadikan Ramadan sebagai musim mengutip rezeki dan ketiga, kumpulan dipercayai digerakkan oleh sindiket tertentu.
Keadaan ini meletakkan masyarakat dalam dilema antara empati dan ketegasan. Memberi mungkin melegakan hati, tetapi berpotensi memanjangkan rantaian kebergantungan.
Tidak memberi pula menimbulkan rasa bersalah kerana Ramadan sering dikaitkan dengan gandaan pahala serta tuntutan membantu golongan memerlukan.
Pakar Sosiologi, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, sikap rakyat Malaysia yang pemurah menjadi antara faktor aktiviti mengemis terus subur.
“Sifat suka menderma ini baik, namun tanpa kawalan ia boleh menggalakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan,” katanya.
Menurut beliau, terdapat individu yang menjadikan mengemis sebagai profesion kerana mampu menjana pendapatan mudah tanpa komitmen kerja.
Beliau menegaskan kemiskinan domestik tidak boleh dipandang ringan, khususnya di luar bandar Pantai Timur, Sabah dan Sarawak yang berdepan kekangan peluang pekerjaan dan pendidikan.
“Faktor struktur sosial seperti tahap pendidikan rendah, tanggungan anak ramai termasuk OKU dan sikap pasif menyumbang kepada kitaran kemiskinan. Kebergantungan berterusan kepada bantuan bukan penyelesaian jangka panjang,” ujarnya.
Mengulas isu pekerjaan domestik, katanya, peluang seperti amah wajar direbut rakyat tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang memaksa majikan membayar sehingga RM20,000 kepada ejen.
“Persepsi terhadap kerjaya perlu diubah kerana ia mampu menjana pendapatan sehingga RM2,500 sebulan seperti amah Filipina. Dengan kontrak jelas dan layanan adil, ia pekerjaan stabil dan sah di sisi undang-undang,” katanya.
Perubahan minda penting untuk mentransformasikan masyarakat daripada penerima bantuan kepada penjana pendapatan.
“Setiap isi rumah digalakkan menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk atau perkhidmatan kecil. Konsep pusingan modal komuniti mampu memperkukuh ekonomi keluarga,” ujarnya.
Apa yang penting, Ramadan seharusnya menjadi titik muhasabah bukan sahaja kepada pemberi, tetapi juga penerima agar bantuan dijadikan batu loncatan keluar daripada kemiskinan.














