SABTU lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 6.15 peratus bagi kedua-dua Simpanan Shariah dan Konvensional.
Meskipun ada yang akan melihat ia lebih rendah berbanding kadar 6.3 peratus yang diberikan tahun lalu, angka tersebut sebenarnya agak tinggi daripada tahun-tahun yang lepas.
Bagi Simpanan Shariah, ia lebih tinggi berbanding kadar purata sejak ia diperkenalkan pada 2017 iaitu 5.6 peratus, manakala bagi Simpanan Konvensional, ia lebih tinggi berbanding purata 10 tahun sebanyak 5.88 peratus, dan purata 20 tahun iaitu 5.87 peratus.
Ini membuktikan KWSP secara berterusan mampu memberikan pembayaran dividen yang stabil untuk jangka masa panjang.
Pada masa sama, apa yang dibanggakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn sewaktu pembentangan taklimat dividennya ialah caruman sukarela dalam kalangan ahli KWSP yang terus mencatat momentum positif.
Nilai caruman sukarela meningkat kepada RM19.2 bilion tahun lalu daripada RM13.7 bilion pada 2024 untuk mewakili 16 peratus daripada caruman keseluruhan berjumlah RM121.5 bilion.
Program i-Saraan merupakan pemacu utama, dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9 peratus kepada 720,056 orang dan jumlah caruman meningkat 50.8 peratus kepada RM4 bilion.
Ketika ditanya pemberita, Ahmad Zulqarnain mengakui tidak memiliki sebarang sasaran bagi peratusan caruman sukarela berbanding caruman mandatori bagi tahun-tahun mendatang.
Apa yang lebih ditekankannya ialah jumlah pencarum sukarela diharapkan terus meningkat untuk meliputi lebih ramai pekerja tidak formal seperti pekerja gig dan peniaga pasar malam.
Mungkin ramai yang akan bertanya kenapa memilih simpanan di KWSP yang secara relatifnya agak sukar untuk dikeluarkan bagi mereka yang berusia bawah 55 tahun, berbanding melabur dalam emas atau unit amanah.
Jawapan mudah ialah kesedaran orang ramai tentang kepentingan simpanan di hari tua semakin meningkat. Dalam masa sama, ini juga bukti kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap KWSP.
Bagi Profesor Adjung di Pusat Pembangunan Ungku Aziz, Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Muhammed Abdul Khalid antara perkera yang menarik perhatiannya berhubung prestasi KWSP tahun lalu ialah bilangan ahli KWSP yang banyak meningkat kepada 18.1 juta orang, daripada 16.2 juta tahun 2024.
Ini termasuk pekerja asing sebanyak 1.5 juta orang.
“Fungsi KWSP ialah simpanan persaraan untuk pekerja, jadi jumlah pekerja diliputi perlu banyak.
“Jumlah mereka naik kerana program-program dilaksanakan KWSP itu bagus. Jumlah simpanan pun naik (purata simpanan ahli aktif RM119,000 pada 2025, naik sembilan peratus peratus tahun ke tahun; median simpanan RM35,000, naik 12.7 peratus) walaupun ia masih belum mencukupi untuk bersara.
“Bagi saya, memandangkan situasi global tidak menentu, prestasi KWSP ini baik. KWSP perlu kekal pada fungsi mereka, memastikan pekerja di Malaysia dilindungi dan mempunyai persaraan cukup untuk masa depan,” katanya.














