fbpx

Batalkan lesen premis yang berdegil – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika merasmikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Kali Ke-27 di Hotel Mudzaffar, Melaka hari ini.

MELAKA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pengusaha kelab malam dan pusat hiburan yang berdegil menjalankan operasi.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil memandangkan masih banyak kes-kes pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP) berlaku membabitkan pusat hiburan.

“Kerajaan sebelum ini menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah memutuskan untuk mengenakan tindakan tegas termasuk membatalkan serta menyenarai hitam lesen perniagaan pusat hiburan terlibat.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) supaya menyampaikan arahan kita kepada PBT kerana ada kelab malam yang saya lihat masih lagi berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Kali Ke-27 di Hotel Mudzaffar, di sini hari ini

Bagaimanapun beliau menjelaskan, kuasa membatalkan lesen itu terletak di bawah kerajaan negeri walaupun PBT berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya harap majlis daerah, majlis perbandaran mahupun majlis bandaraya supaya mengikuti saranan-saranan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan.

“SOP ini sudah pun ditetapkan, saya harap penguatkuasaan dapat dibuat bagi menghalang pusat-pusat hiburan ini daripada meneruskan aktiviti haram mereka. Bagi saya (aktiviti itu) haram kerana kita tak benarkan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan kerajaan Melaka untuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Koreksional Jasin (PKJ), beliau memberitahu perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya terdapat usul daripada Kementerian Kesihatan.

“Hari Isnin ini kita ada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara, jadi saya tunggulah kalau ada cadangan (PKPD) di penjara tersebut, tapi biasanya apa yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan kita akan setuju.

“Ini kerana mereka yang membuat penilaian sesuatu tempat itu perlu diadakan PKPD atau PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), semuanya melalui cadangan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Semalam Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md. Ali mencadangkan supaya PKPD dilaksanakan di PKJ susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dengan sebanyak 98 kes baharu direkodkan dalam kalangan banduan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI